Abdul Rahim Sabri
Hasrat sekumpulan Orang Asal dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak untuk menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong tidak kesampaian apabila mereka tidak dibenarkan oleh pihak polis berarak ke Istana Negara pagi tadi.
Kumpulan seramai kira-kira 120 orang diketuai oleh Presiden Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS), Andrean Lasimbang.
Mereka berkumpul di Galeri Annex di belakang Pasar Seni mulai jam 10 pagi - tempat berlangsungnya bengkel dan pameran perjuangan orang Asal SeMalaysia dari 9 hingga 13 September.
Mereka mula bergerak menuju ke Istana Negara pada jam kira-kira 10.15 pagi tetapi dihalang oleh pihak polis, yang mendakwa mereka tidak memohon permit untuk berbuat demikian.
Andrean kemudiannya berunding dengan pihak polis meminta supaya mereka dibenarkan berarak ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum tersebut.
Memorandum itu antara lain menuntut hak Orang Asal dan polisi pembangunan untuk menghormati Orang Asal di Malaysia yang termaktub dalam Perlembagan Persekutuan.
Selepas kira-kira 30 minit, polis tetap tidak membenarkan mereka berarak ke Istana Negara.
Berikutan itu, kumpulan tersebut berpatah balik ke kawasan Galeri Annex di mana sidang akhbar diadakan oleh Andrean, bekas presiden JOAS, Tijah Yok Chopil dan pengarah eksekutif Borneo Resource Institute, Mark Bujang.
Mereka bersurai selepas sidang akhbar itu selesai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan