HALAMAN SANTAI

Isnin, 15 September 2008

KAMI kecam penahanan wartawan di bawah ISA

Intan Abdullah


KUALA LUMPUR - Kumpulan Aktivis Media Independen (Kami) mengecam tindakan kerajaan Umno-BN yang menyalahgunakan undang-undang demi kepentingan politik mereka.

Jurucakapnya, Ahmad Lutfi Othman berkata penahanan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng antara tiga individu lain menunjukkan kerajaan tidak menghormati hak media serta kebebasan bersuara yang diperuntukkan oleh perlembagaan.

"Ini sekaligus membuktikan bahawa ISA telah disalahgunakan oleh kerajaan," katanya kepada Harakahdaily.

Tambahnya, penahanan tersebut bukan hanya tidak sewajarnya berlaku malah ianya turut membuktikan sikap 'tidak tentu hala'

Oleh itu, Ahmad Lutfi mendesak Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid Albar serta Polis DiRaja Malaysia (PDRM) agar melakukan permohonan maaf secara terbuka kepada mangsa.

"Syed Hamid harus bertanggungjawab, beliau dan PDRM mesti memohon maaf secara terbuka sebagaimana ianya telah mencemarkan nama baik media dan dunia kewartawanan," ujarnya.

Katanya, apa yang dilakukan mereka melambangkan kerajaan Umno-BN yang kuku besi dan tidak terbuka kepada pengamal media.

"Wartawan sepatutnya diberikan ruang yang bebas dan selesa melaporkan sebarang kejadian yang berlaku.

"Hujah Syed Hamid menahan mereka yang terbabit dengan tujuan mengambil maklumat adalah merupakan hujah yang dangkal," katanya lagi.

Beliau menempelak penggunaan akta 'draconian' itu dalam keadaan masih banyak lagi peruntukan undang-undang yang lain.

"Kenapa hendak gunakan ISA ? Banyak lagi undang-undang lain yang boleh digunakan bagi mendapatkan maklumat," ujarnya lagi.

Keadaan ini tegasnya jelas menunjukkan ISA adalah akta zalim, mudah dimanipulasi serta perlu dihapuskan

"KAMI sangat prihatin dengan isu ini apatah lagi ianya membabitkan aktivis media dan pemimpin pembangkang," katanya.

Ujarnya, apa yang terjadi sekarang ini adalah sangat mirip kepada peristiwa Operasi Lalang 1987 di mana ramai pemimpin pembangkang ditahan.

"Pada Ops Lalang itu, keadaan Umno-BN adalah sangat kacau bilau," katanya.

Tan, 33, ditahan pada jam 8.30 malam semalam di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Menurut Tan, dia dihantar pulang oleh polis ke rumahnya di Taman Muhibbah pada jam 4 petang dari Ipoh. Sebaik sahaja tiba, Tan terus memeluk ibunya yang berusia 65 tahun.

Wartawan kanan Sin Chew Daily itu berkata, dia memberi kenyataan kepada polis di beberapa buah balai yang berlainan di Pulau Pinang dan Perak sepanjang hampir 16 jam berada dalam tahanan polis.

Katanya, dia telah memberi maklumat kepada polis mengenai isu-isu tertentu, tetapi enggan mengulas lanjut.

Bagaimanapun, Tan membayangkan yang dia disoal siasat oleh polis mengenai ucapan ketua Umno Bukit Bendera yang digantung dan dilucut jawatannya, Datuk Ahmad Ismail sewaktu pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Kontroversi tercetus selepas Tan melaporkan ucapan Ahmad yang didakwa berbaur perkauman.

Tan tetap menegaskan bahawa apa yang ditulisnya mengenai ucapan Ahmad adalah apa yang didengarnya ketika beliau (Ahmad) berceramah./wann_

Tiada ulasan: