Utusan Online
KOTA BHARU. _ Kerajaan tidak sewajarnya menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menahan tiga individu kelmarin, sebaliknya mereka dihukum mengikut sistem perundangan negara ini bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berkata, pelbagai undang-undang terdapat di negara ini yang boleh digunakan untuk menghukum individu yang dikatakan menimbulkan ketegangan kaum.
Pada masa yang sama, beliau sama sekali tidak dapat menerima alasan yang diberikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar untuk menahan ketiga-tiga individu terbabit bahawa ia dilakukan setelah polis mempunyai cukup bukti bagi mengelakkan ketegangan kaum dan mengancam keselamatan negara.
"Saya rasa gembira apabila wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng dibebaskan dan berharap kerajaan akan membebaskan dua lagi tahanan ini.
"Kita ada undang-undang Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan yang boleh menjelaskan kepada rakyat kenapa mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang tanpa menggunakan ISA," katanya pada sidang akhbar di rumahnya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengulas penahanan tiga orang ditahan di bawah ISA dalam satu operasi polis ke atas beberapa individu yang terbabit mencetuskan isu perkauman dan persengketaan agama pada Jumaat lalu.
Mereka ialah Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teresa Kok; pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin dan wartawan wanita Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan