HALAMAN SANTAI

Sabtu, 6 September 2008

Pakar: Pemeriksaan perubatan lengkap diperlukan nilai kes liwat

BERNAMA


(Dikemas kini) KUALA LUMPUR: Adalah sukar bagi seorang doktor untuk menilai dengan tepat apabila memeriksa seseorang pesakit beberapa minggu atau bulan selepas mendakwa diliwat memandangkan beberapa tanda di bahagian tertentu mungkin tidak kelihatan, demikian menurut Persatuan Pakar Bedah Kolorektal Malaysia (MSCRs).

Presidennya, Dr. Akhtar Qureshi dan Naib Presidennya, Dr. Yunus Gul dalam satu kenyataan berkata, pengamal perubatan boleh membuat diagnosis kemasukan secara paksaan dalam dubur jika mangsa diperiksa di peringkat awal, seperti sejurus atau beberapa hari selepas kejadian kerana tandatanda diliwat mungkin ada.

Mereka berkata, penggunaan objek tumpul, yang dimasukkan secara paksa ke dalam dubur mungkin menyebabkan tanda-tanda klinikal yang sama seperti diliwat, dan ini "memerlukan pemeriksaan terperinci sebelum sesuatu rumusan atau diagnosis dibuat."

"Lebih-lebih lagi, apabila seseorang yang telah lama terlibat dalam perlakuan seks di luar tabii mungkin tidak menunjukkan sebarang tanda trauma pada pemeriksaan klinikal selain mungkin tanda-tanda kelonggaran pada otot lubang dubur. Adalah lebih baik mangsa diperiksa oleh pakar bedah kolorektal," kata mereka.

Kedua-dua mereka berkata, persatuan itu membuat kenyataan untuk melahirkan pandangan mereka sebagai pakar perubatan berhubung laporan media baru-baru ini mengenai sodomi dan pelbagai dakwaan terhadap faktor-faktor yang menentukan kes liwat.

Kedua-dua doktor itu berkata, media dan individu adalah tidak bertanggungjawab apabila membuat pelbagai spekulasi berhubung satu insiden terutamanya apabila butiran penuh tidak diperoleh.

"Adalah sukar bagi seorang doktor untuk menilai dengan tepat apabila memeriksa pesakit selepas beberapa minggu atau bulan insiden liwat berlaku kerana tandatanda setempat tidak kelihatan.

"Kami bersetuju dengan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Ismail Merican baru-baru bahawa sejarah, pemeriksaan perubatan lengkap dan pemeriksaaan tertentu, termasuk penilaian specimen daripada tubuh oleh unit forensik mesti dilakukan bagi menilai kes seumpamanya," kata mereka.

Dalam kenyataan satu muka surat, Dr. Akhtar dan Dr. Yunus juga berkata: "Kalangan pegawai perubatan yang menangani kes baru-baru ini telah dihakimi secara tidak adil kerana butiran terperinci mengenai apa yang telah berlaku adalah kabur dan sepatutnya diadili oleh mahkamah perundangan di mana keterangan boleh didengar dan dinilai dengan lebih terperinci oleh pakar."

Pada 25 Ogos, Dr. Ismail berkata, seorang doktor tidak boleh membuat laporan perubatan secara muktamad dalam kes seksual, termasuk sodomi kecuali beliau melengkapkan empat pemeriksaan penting ke atas mangsa.

Dr. Ismail berkata, doktor perlu mempunyai sejarah terperinci insiden yang didakwa oleh mangsa, kemudian beliau mesti melakukan pemeriksaan perubatan penuh bahagian sulit mangsa dan melakukan beberapa pemeriksaan.

"Doktor itu kemudiannya perlu menghantar specimen daripada tubuh mangsa kepada unit forensik. Semua ini mesti dilengkapkan. Anda tidak boleh melakukan pemeriksaan awal dan merumuskan bahawa mangsa telah mengalami penderaan seksual atau sebaliknya," katanya.

Dr. Ismail berkata, demikian semasa diminta mengulas risalah yang diedarkan kepada orang ramai, yang dikatakan laporan perubatan Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, yang dilakukan di Hospital Pusrawi oleh pegawai perubatan, Dr Mohamed Osman Abdul Hamid.

Laporan itu didakwa dibuat beberapa jam selepas Mohd Saiful membuat laporan polis mendakwa Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meliwatnya.

Dr. Mohamed Osman melakukan pemeriksaan ke atas Mohd Saiful pada 28 Jun selepas mengadu sakit perut dan sakit di bahagian dubur.

Tiada ulasan: