BERNAMA
KOTA KINABALU: Walaupun rakyat negara ini masih tidak sekata tentang tarikh kelahiran Malaysia, tetapi hakikat yang perlu diingat ialah sejarah tidak boleh diselewengkan, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Bernard Dompok.
Berucap merasmikan seminar bertajuk "Pembentukan Malaysia dan Hak Sabah dan Sarawak Di Sisi Perlembagaan" di sini hari ini, Dompok berkata disebabkan isu itu, ada pihak menuduh mereka yang berpendirian bahawa Malaysia dilahirkan pada 16 Sept 1963, iaitu tarikh Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia secara rasmi, sebagai tidak patriotik.
"Rakyat Malaysia di Semenanjung tidak begitu kisah tentang tarikh 16 Sept, tapi di Sabah dan Sarawak, kebanyakan orang berpendapat bahawa inilah tarikh lahirnya Malaysia.
"Bagi saya, usahlah kita selewengkan sejarah. Oleh kerana kita cintakan negara inilah, maka kita mahukan tarikh sebenar ...Saya dapati orang Sabah dan Sarawak amat bersemangat dalam mempertahankan tarikh kemerdekaan mereka," katanya.
Jika berpandukan sejarah, Dompok berkata, 16 September 1963 patut dianggap sebagai Hari Malaysia kerana ia adalah tarikh sebenar kelahiran Malaysia.
"Kita tentu tahu bahawa Malaysia tidak wujud sebelum 16 Sept, 1963. Apa yang wujud pada masa itu ialah Persekutuan Tanah Melayu. Kalaulah kita menyertai Malaysia ketika itu, maka tarikh sebetulnya ialah 31 Ogos 1957, tapi kita tidak berbuat begitu.
"Ini fakta sejarah dan saya tak fikir kita patut mengubahnya. Itu pendapat saya... 31 Ogos adalah hari kemerdekaan bagi Semenanjung Malaysia dan barangkali, dalam konteks Sabah dan Sarawak, 31 Ogos masih boleh diterima sebagai hari kemerdekaan, tapi Hari Malaysia dan tarikh Malaysia dilahirkan ialah 16 Sept," kata beliau.
Beralih kepada topik lain, beliau berkata, selepas 45 tahun pembentukan Malaysia, rakyat negara ini patut berasa bangga kerana negara mereka telah mencapai banyak kemajuan.
"Perbezaan memang ada, tapi yang penting, kita tidak mengalami nasib seburuk seperti yang dirasai negara Afrika, walaupun mereka juga mendapat kemerdekaan daripada penjajah masing-masing," katanya.
Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Dompok berkata wakil Petronas telah menemui beliau baru-baru ini bagi memberi penjelasan tentang status pelaksanaan projek pemasangan saluran gas sepanjang 500km dari Kimanis di Sabah ke Bintulu di Sarawak, yang menimbulkan beberapa tanda tanya dalam kalangan rakyat Sabah.
Ditanya sama ada Petronas telah mengesahkan akan meneruskan projek itu, beliau berkata: "Saya tak tahu (tentang keputusan mereka). Semasa mereka berjumpa dengan saya, saya hanya beri pandangan dan tidak lebih daripada itu.
"Tapi, itu bukanlah penghujung cerita. Saya berpegang pada apa yang telah diumumkan kepada rakyat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Dompok berkata, adalah suatu isu serius apabila sebuah syarikat berkaitan kerajaan mempersoalkan integriti Perdana Menteri.
Semasa berkunjung ke Sabah Mei lepas, Abdullah mengumumkan bahawa projek saluran paip gas itu telah dibatalkan, tetapi menurut laporan, Petronas tidak menghiraukannya dan banyak pemimpin tempatan menyuarakan rasa tidak puas hati mereka tentang perkara itu kerana berpendapat ia tidak menguntungkan Sabah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan