HALAMAN SANTAI

Ahad, 14 September 2008

Pakatan Rakyat mahu jumpa PM bincang isu ISA

Oleh SA'ODAH ELIAS


PETALING JAYA: Pakatan Rakyat hari ini mengambil keputusan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi secepat mungkin bagi menyampaikan kebimbangannya terhadap apa yang mereka takrifkan sebagai penyalahgunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Ketua pembangkan yang juga penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata PR juga menggesa agar Perdana Menteri membebaskan semua mereka yang ditahan di bawah Akta itu semalam.

Katanya jika masalah ketenteraman awam dijadikan alasan untuk menahan individu di bawah ISA, pihak yang patut dipersalahkan adalah Umno kerana membiarkan pemimpinnya memainkan sentimen perkauman dan bukan orang lain.

"Tindakan menggunakan ISA itu jelas bertujuan menakut-nakutkan rakyat dan ahl-ahli Parlimen pembangkang," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat PR di ibupejabat PKR di sini

Beliau juga menggesa semua pihak agar bekerjasama bagi memastikan tidak ada mana-mana pihak yang akan membangkitkan isu-isu perkauman yang boleh menyinggung mana-mana pihak di negara ini.

Ketua ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang pula menyelar Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar kerana mengeluarkan kenyataan yang dianggapnya tidak masuk akal petang tadi melibatkan punca seorang wartawan akhbar berbahasa Cina ditahan semalam.

Katanya Parlimen perlu bersidang segera bagi memansuhkan ISA agar ia tidak lagi dicabul untuk tujuan politik pihak tertentu termasuk bagi mempertahankan hak wartawan menjalankan tugas tanpa takut

"Hakikat bahawa pemberita yang ditahan semalam kini menempa sejarah sebagai tahanan ISA paling pendek menunjukkan alasan menahannya adalah tidak kukuh.

"Kita menuntut dua lagi individu yang ditahan semalam dibebaskan segera tanpa syarat. Kami juga mendesak agar surat tunjuk sebab yang dikeluarkan kepada tiga akhbar ditarik balik," tegasnya.

Wartawan berkenaan, Tan Hoon Cheng adalah antara tiga yang ditahan di bawah ISA malam tadi. Dia bagaimanapun dibebaskan hari ini setelah Syed Hamid menjelaskan bahawa dia sebenarnya ditahan bagi memastikan keselamatannya terjamin setelah menerima ugutan.

Tiada ulasan: