HALAMAN SANTAI

Ahad, 7 September 2008

Runding bebas tebusan diteruskan

Oleh WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS


KUALA LUMPUR. - Rundingan pembebasan semua anak kapal MT Bunga Melati 2 dan MT Bunga Melati 5 yang dirampas lanun di Teluk Aden dekat Somalia dan Yemen masih diteruskan.

Pengurus Besar Jabatan Perhubungan Korporat MISC, P. Fiona berkata, pihaknya tidak dapat menentukan tempoh masa yang diperlukan untuk menjayakan rundingan tersebut.

Menurutnya, maklumat yang diterima menunjukkan semua tebusan iaitu anak kapal kedua-dua kapal tangki terbabit kini dalam keadaan selamat.

"Diharap ahli keluarga kesemua mangsa bersabar kerana usaha pembebasan akan mengambil masa.

"Kita tidak dapat meramalkan bila ia akan selesai," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Pada 19 Ogos lalu, sebuah kapal MISC, Bunga Melati 2 dengan 39 anak kapal, 29 daripadanya rakyat Malaysia manakala bakinya warga Filipina dirampas lanun di perairan tersebut menyebabkan seorang anak kapal dari Filipina terbunuh terkena peluru sesat.

Sepuluh hari kemudian iaitu pada 29 Ogos, sebuah lagi kapal MISC, Bunga Melati 5 dengan 41 anak kapal iaitu 36 rakyat Malaysia dan lima warga Filipina pula dirampas di perairan sama ketika dalam pelayaran dari Yanbu, Arab Saudi ke Singapura.

Ekoran itu, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan menghantar dua kapal perang iaitu KD Lekiu dan KD Inderapura dan sebuah kapal peronda, KD Pahang di perairan teluk itu untuk melindungi empat kapal MISC yang sedang belayar.

Sementara itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyambut baik langkah kerajaan menghantar tiga kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke Teluk Aden sebagai misi melindungi kapal-kapal MISC.

Setiausaha MKN, Datuk Muhamad Hatta Abdul Aziz berkata, kerajaan telah mengambil tindakan yang sewajarnya bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang lagi.

"Selain melindungi kapal MISC dan menjamin keselamatan anak-anak kapal, langkah kerajaan itu dapat meredakan kebimbangan keluarga anak-anak kapal yang terlibat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tiada ulasan: