HALAMAN SANTAI

Ahad, 7 September 2008

Anak kapal ditahan lanun kebuluran

BERNAMA


KOTA BAHARU: Seorang daripada anak kapal MH Melati 5 yang ditahan sekumpulan lanun di Teluk Aden, Somalia, mendedahkan mereka kini berhadapan dengan ancaman kebuluran berikutan bekalan makanan hampir putus.

Khatijah Yusoff, 53, ibu kepada Mohd Nazri Mat Salleh, 22, berkata semasa dihubungi anaknya melalui telefon semalam, dia memberitahu bekalan makanan di atas kapal itu hampir kehabisan.

"Dia minta saya memberitahu kepada pejabatnya sekiranya kakitangan pejabat menghubungi saya supaya menghantar bekalan makanan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kerasak Limbat di sini, hari ini.

Dalam kejadian 29 Ogos lepas, 26 anak Kapal MH Melati 5 milik MISC dalam perjalanan dari Dumai, Indonesia ke Belanda membawa muatan minyak ditawan oleh sekumpulan lanun bersenjata api dan meminta tebusan.

Kejadian itu yang kedua berlaku dalam tempoh 10 hari selepas sekumpulan 39 anak kapal MH Melati Dua ditawan di persisiran Pantai Somalia pada 19 Ogos yang kini belum pasti kedudukannya.

Khatijah berkata selain meminta makanan anaknya juga meminta keluarga di kampung menunaikan solat hajat memohon kepada Tuhan agar keselamatannya terjamin dan dapat pulang ke pangkuan keluarga dalam masa terdekat.

"Dia (Mohd Nazri) juga memberitahu semua anak-anak kapal berada di dalam keadaan sihat dan tidak membimbangkan," katanya.

Tiada ulasan: