HALAMAN SANTAI

Khamis, 11 September 2008

Rundingan bebas anak kapal dua kali sehari

Oleh ZABRY MOHAMAD dan RAJA SYAHRIR ABU BAKAR


KUALA LUMPUR . - Rundingan bagi membebaskan anak- anak kapal MISC Berhad yang ditawan lanun ketika belayar di Teluk Aden dekat Somalia dan Yemen berlangsung sebanyak dua kali setiap hari.

Sumber Kementerian Pertahanan memberitahu, proses rundingan tersebut dilakukan oleh wakil MISC dengan perampas menerusi perhubungan telefon menggunakan bahasa Inggeris.

Katanya, walaupun kapal-kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dikerah ke teluk itu untuk melindungi kapal-kapal MISC yang lain, rundingan yang dijalankan tidak melibatkan campur tangan kerajaan.

"Walaupun kedua-dua pihak boleh bertutur bahasa Arab, mereka enggan dan rundingan dilakukan dalam bahasa Inggeris.

"Rundingan itu hanya melibatkan kedua-dua pihak dan tiada campur tangan kerajaan Malaysia," katanya kepada Utusan Malaysia di sini malam tadi.

Pada 19 Ogos lalu, sebuah kapal MISC iaitu kapal MT Bunga Melati 2 dengan 29 anak kapal rakyat Malaysia dan 10 warga Filipina dirampas oleh lanun di perairan tersebut menyebabkan seorang anak kapal dari Filipina terbunuh terkena peluru sesat.

Sepuluh hari kemudian, sebuah lagi kapal milik MISC, Bunga Melati 5 dengan 36 anak kapal rakyat Malaysia dan lima warga Filipina turut dirampas di perairan sama ketika dalam pelayaran dari Yanbu, Arab Saudi ke Singapura.

Ekoran kejadian itu, kerajaan mengambil keputusan menghantar tiga kapal TLDM iaitu KD Lekiu, KD Inderapura dan KD Pahang yang kemudiannya digantikan dengan KD Mahawangsa ke Teluk Aden bagi melindungi kapal-kapal milik MISC.

Menurut sumber itu lagi, kehadiran kapal-kapal TLDM di teluk itu adalah sebagai memantau perkembangan perbincangan di antara MISC dan pihak perampas.

Ditanya mengenai keadaan anak- anak kapal MISC, beliau menjelaskan, pihak perampas amat menghormati para tebusan yang kebanyakannya beragama Islam dan membenarkan mereka menunaikan ibadat puasa sepanjang ditawan.

Mengenai peluang kedua-dua pihak menyelesaikan permasalahan tersebut, beliau yakin ia bakal menemui kejayaan tanpa sebarang kejadian buruk.

Tiada ulasan: