HALAMAN SANTAI

Khamis, 11 September 2008

BN setuju wujudkan kod etika

Oleh HERMAN HAMID dan SAIFULIZAM MOHAMAD


KUALA LUMPUR - Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) yang bermesyuarat hari ini memutuskan untuk mewujudkan kod etika mengenai hubungan antara parti komponen bagi mengelakkan berulangnya situasi yang boleh menjejaskan perpaduan BN.

Pengerusi BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, antara penekanan dalam kod etika tersebut pastinya isu-isu yang berbentuk hasutan dan juga soal berkaitan Perlembagaan Persekutuan.

"Kita akan keluarkan satu kod etika yang khusus mengenai hubungan sesama parti dalam BN. Apa yang penting adalah memastikan perkara yang tidak perlu ditimbulkan, jangan ditimbulkan,'' tegas beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dihadiri ketua-ketua parti komponen BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Menurut Abdullah, selain kod etika, terdapat beberapa perkara lagi yang diputuskan dalam usaha kepimpinan tertinggi BN untuk mengukuhkan kerjasama antara parti komponen di setiap peringkat.

Kata beliau, antaranya adalah keperluan untuk mewujudkan sebuah badan penyelidikan yang akan dianggotai oleh wakil-wakil daripada setiap parti komponen tanpa hanya dijalankan oleh sesebuah parti bagi pihak parti yang lain.

"Kami juga memutuskan supaya tindakan untuk menggerakkan jentera penerangan berhubung kegiatan parti dan dasar kerajaan hendaklah dijalankan secara bersama dan bukan membiarkan setiap parti melakukannya secara berasingan.

"Di samping itu juga jentera penerangan dalam BN mestilah berupa badan yang dianggotai oleh ahli daripada semua parti komponen supaya nanti akan ada penyelarasan dan komitmen bersama,'' jelasnya.

Abdullah menambah, mesyuarat hari ini juga sepakat menegaskan bahawa BN adalah milik semua parti komponen dan dengan itu sebarang kekurangan atau kelemahan yang ada mestilah diatasi dengan segera.

"Ini termasuk cadangan untuk membawa perubahan kepada BN seperti untuk memperbanyakkan lagi penglibatan ahli pada semua peringkat tanpa hanya terhad pada majlis peringkat nasional.

"Yang penting kita mesti hadapi segalanya bersama dan bekerjasama untuk menjayakan rancangan BN,'' katanya.

Tiada ulasan: