HALAMAN SANTAI

Ahad, 7 September 2008

Sabah, Sarawak digesa tuntut royalti minyak 25%

BERNAMA


KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Harris Salleh berkata, sudah tiba masa untuk kerajaan negeri Sabah dan Sarawak meluluskan usul kenaikan bayaran royalti minyak dari lima kepada 25 peratus.

"Ini hanya boleh dilakukan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri masing-masing akan datang," katanya dalam surat bertarikh 2 September yang dihantar kepada ketua menteri kedua-dua negeri itu dan semua wakil rakyat Sabah dan Sarawak.

Salinan surat berkenaan dikeluarkan kepada pihak media hari ini.

"Ini adalah bagi kepentingan Sarawak dan Sabah memohon kenaikan royalti minyak dari kerajaan persekutuan dan Petronas pada masa ini.

"Lebih-lebih lagi apabila kerajaan pusat mengakui bahawa kerajaan Sabah dan Sarawak memerlukan banyak dana untuk membangunkan negeri masing-masing dan kedua-dua negeri itu masih jauh ketinggalan berbanding negeri lain di negara ini," kata Harris dalam surat berkenaan.

Antara alasan yang diberi oleh Harris ialah harga minyak mentah global telah meningkat sebanyak empat kali ganda sejak 1974 dan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak tidak mempunyai pilihan kecuali menandatangani perjanjian royalti minyak sebanyak lima peratus.

Kerajaan pusat telah mengambil alih semua hak negeri terhadap sumber-sumber minyak pada 1974.

Harris, 73, menjadi Ketua Menteri dari 7 Jun 1976 hingga 15 Mac 1985, semasa parti Berjaya memerintah negeri Sabah sebelum parti pimpinannya itu tewas kepada Parti Bersatu Sabah (PBs) pada pilihan raya negeri 1985.

Tiada ulasan: