HALAMAN SANTAI

Ahad, 7 September 2008

Rasmi, Mukhriz tanding Ketua Pemuda Umno

BERNAMA


ALOR STAR: Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Mahathir hari ini secara rasmi mengumumkan menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno pada pemilihan parti Disember ini.

Mukhriz berkata, beliau mengambil keputusan itu apabila mendapati sokongan terhadapnya semakin meningkat di samping kesedaran dan tanggungjawab mahu berkhidmat kepada rakyat.

"Saya menawarkan diri untuk bertanding sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno setelah saya dapati ramai yang memberi sokongan terhadap saya," katanya pada majlis pengumuman rasmi menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno di sini, hari ini.

Jawatan Ketua Pemuda Umno menjadi rebutan selepas Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan itu pada pemilihan parti Disember ini.

Selain Mukhriz, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mohamad Khir Toyo, Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor turut dijangka bertanding jawatan itu.

Baru-baru ini Muhkriz yang juga Exco Pemuda Umno pernah menyatakan kebimbangannya terhadap gejala politik wang dan penyelewengan yang didakwa berlaku dalam pemilihan peringkat cawangan Pemuda Umno akan menutup peluangnya untuk bertanding jawatan tersebut.

Bagaimanapun katanya, beliau perlu optimis dan berharap 'keajaiban' akan membolehkannya mendapat jumlah pencalonan mencukupi untuk bertanding walaupun kubukubu kuatnya turut goyang akibat gejala berkenaan.

Sementara itu, Mukhriz, 44, berjanji tidak akan memegang sebarang jawatan dalam kerajaan sekiranya diberi mandat sebagai Ketua Pemuda Umno.

Sekiranya dipilih sebagai Ketua Pemuda Umno kelak, beliau antara lain berjanji untuk membuat perubahan iaitu membuka ruang yang lebih luas kepada golongan muda menyertai Umno, memberi suntikan semangat secara tersurat dan tersirat, mengambil berat masalah rakyat serta menentukan hala tuju rakyat terutama golongan muda.

Tiada ulasan: