HALAMAN SANTAI

Jumaat, 12 September 2008

Tiga gempa besar gegar Asia

BERITA HARIAN / AP


TOKYO: Tiga gempa bumi berskala besar menggegarkan Asia, semalam sehingga mencetuskan amaran tsunami di pantai utara Jepun dan Indonesia menyebabkan ribuan penduduk melarikan diri ke kawasan lebih tinggi.

Selain itu, satu gempa bumi dilaporkan melanda selatan Iran iaitu di lokasi sama yang mengorbankan tujuh penduduk dan 45 lagi cedera dalam bencana itu, kelmarin.

Di Jepun, gempa kuat berukuran 7.0 skala Richter berlaku pada jam 9.21 pagi di lautan berhampiran Pulau Hokkaido dengan kedalaman 20 kilometer dari paras laut, semalam, lapor agensi meteorologi.

Gempa itu mengakibatkan ombak tsunami setinggi 10 sentimeter 35 minit kemudian tetapi tiada kematian atau kemusnahan dilaporkan.

"Gegaran kecil berlaku selepas gempa melanda tetapi tiada kemusnahan besar," kata jurucakap polis Hokkaido, Yukio Yoshida.

Pihak berkuasa mengarahkan kira-kira 10,600 penduduk kawasan Ofunato di wilayah Iwate mengosongkan kediaman masing-masing dan menjauhi pantai.

Sejam sebelum itu, perairan timur laut Indonesia dilanda gempa berukuran 6.6 skala Richter yang berlaku pada kedalaman 90 kilometer dari bawah paras laut Selat Maluku.

Amaran tsunami dikeluarkan menerusi radio dan televisyen, manakala penduduk ibu negeri Maluku, Ternate, yang terletak berhampiran pusat gempa, melarikan diri dari rumah dan keluar dari bangunan.

Agensi kaji cuaca, bagaimanapun menarik balik amaran tsunami yang dikeluarkan selepas ombak besar itu tidak berlaku.

"Saya keluar dari hotel bersama beberapa tetamu ke kawasan tinggi. Saya lihat penduduk di tepi pantai memeriksa sama ada amaran tsunami dikeluarkan atau tidak tetapi semuanya kelihatan normal. Selepas setengah jam, kami turun semula," kata saksi, Benyamin Otte.

Di Iran, stesen radio semalam melaporkan, gempa bumi susulan berukuran 4.9 skala Richter melanda Bandar Khamir pada jam 6.46 pagi.

Anggota polis masih mencari tiga orang yang hilang dalam gempa berukuran 6 skala Richter yang berlaku pada jam 3.30 petang waktu tempatan di Bandar Abbas, kelmarin. AP

Tiada ulasan: