Utusan Online
KOTA KINABALU . - Angkatan Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung kenyataan Datuk Yong Teck Lee yang mendakwa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang mengikuti lawatan sambil belajar ke luar negara menerima wang saku RM50,000.
Ketuanya, Abdul Razak Jamil berkata, laporan tersebut dibuat supaya BPR menyiasat sama ada terdapat unsur rasuah berdasarkan dakwaan daripada seorang presiden sebuah parti komponen BN itu.
"Berdasarkan akhbar Daily Express bertarikh 10 September 2008, Teck Lee sebagai Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) mengeluarkan kenyataan bahawa Datuk Eric Majimbun dan Datuk Dr. Chua Soon Bui menolak pelawaan ke seberang laut dan ditawarkan wang saku sebanyak RM50,000 kepada setiap Ahli Parlimen yang bersetuju menyertai lawatan tersebut.
"Hari ini Bung Moktar menafikan, jadi kita tidak tahu mana betul atau tidak, jadi kita buat laporan biar BPR siasat sama ada ia melanggar akta pencegahan rasuah atau tidak," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di pejabat BPR di sini hari ini.
Beliau berkata, aduan itu diserahkan kepada Pegawai Penyiasat BPR, Dayangku Intan Pengiran Zainal Abidin pada pukul 3 petang hari ini.
Semalam, akhbar tempatan melaporkan Teck Lee berkata, dua Ahli Parlimen SAPP iaitu Eric Majimbun dan Soon Bui menolak pelawaan lawatan ke luar negara dan tawaran wang saku RM50,000 yang didakwa diberikan kepada setiap Ahli Parlimen yang bersetuju menyertai lawatan tersebut.
Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) Datuk Bung Moktar Radin bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan mencabar Teck Lee membuat laporan polis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan