HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Oktober 2008

Ingatan kepada hakim

Oleh NORLIZAH ABAS


PUTRAJAYA - Ketua Hakim Negara yang baru, Tan Sri Zaki Tun Azmi mengingatkan para hakim bahawa mereka tidak layak menerima gaji daripada wang rakyat jika gagal melaksanakan tugas dengan baik termasuk mengamalkan rasuah dan ampu-mengampu.

Beliau menegaskan, tindakan drastik termasuk disingkirkan daripada badan kehakiman boleh dikenakan kepada mereka serta pegawai kehakiman yang gagal menjalankan tanggungjawab dengan jujur dan bersungguh-sungguh.

‘‘Kita harus ingat gaji kita dibayar daripada kocek rakyat. Jika merasakan tidak mampu memberi khidmat terbaik (mungkin kerana beban kerja terlalu berat atau gaji tidak memadai), kita ada pilihan.

“Pilihannya sama ada terus memikul beban demi kepentingan awam atau meninggalkan jawatan masing-masing atas kepentingan peribadi,” katanya.

Ketua Hakim Negara ke-12 itu berkata demikian ketika berucap pada majlis pelantikan ke jawatan itu di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Beliau menggantikan Tun Abdul Hamid Mohamad yang bersara wajib pada 17 Oktober lalu.

Pada majlis itu, Zaki turut menyaksikan majlis mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan serta sumpah setia Presiden Mahkamah Rayuan yang baru, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff, 62, dan Hakim Besar Malaya, Datuk Arifin Zakaria, 58.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum, Hakim Kanan Mahkamah Rayuan, Datuk Gopal Sri Ram, hakim-hakim dan bekas-bekas hakim.

Dalam ucapannya pada majlis itu, Zaki turut memetik kata-kata Hakim Sir Robert Peel dalam kes Barrington pada 1830.

“Hakim Peel bertanyakan adakah layak seorang hakim yang gagal melaksanakan tanggungjawab diberi gaji daripada dana rakyat,” katanya.

Beliau juga memetik ungkapan serupa hakim berkenaan dalam kes Baron Smith yang menyebut bahawa kecuaian menjalankan tugas secara melampau boleh menyebabkan para hakim disingkirkan.

Zaki turut merakam penghargaan kepada Abdul Hamid kerana merintis jalan membolehkan beliau mencapai tahap tertinggi dan meninggalkan tanda aras yang cemerlang untuk dicontohi.

Zaki menjelaskan, sokongan padu semua pihak membuahkan hasil yang membanggakan apabila kes-kes tertunggak berjaya dikurangkan, kaedah pendaftaran dipermudahkan manakala kerenah birokrasi berada di tahap minimum.

Sehubungan itu, beliau memberi jaminan pegawai mahkamah yang bekerja keras tidak akan disia-siakan dan beliau sendiri akan memastikan mereka yang layak diberi ganjaran sewajarnya.

Zaki yang ditemui pemberita kemudiannya bagi mendapat ulasan sulungnya berhubung pelantikan itu menyatakan: ‘‘Saya bukan ahli politik.”

Beliau turut memberi ulasan serupa ketika ditanya mengenai penangguhan prosiding habeas corpus lima pemimpin pertubuhan haram Hindu Rights Action Force (Hindraf) di Mahkamah Persekutuan semalam ekoran panel terdahulu tidak menyediakan penghakiman bertulis.

Zaki dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 18 Oktober lalu. Beliau dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan pada 5 Disember 2007 iaitu dua bulan selepas menjawat jawatan Hakim Mahkamah Persekutuan.

Anak kepada Ketua Hakim Negara kedua, Allahyarham Tun Mohamed Azmi Mohamed itu memperoleh ijazah undang- undang dari Lincoln‘s Inn, London pada 1969 dan pernah berkhidmat sebagai Majistret dan Presiden Mahkamah Sesyen, Ipoh.

Setelah meletakkan jawatan dalam perkhidmatan kehakiman dan perundangan pada 1984 dengan jawatan terakhir sebagai Peguam Kanan Persekutuan, beliau menyertai Tetuan Shahrizat Rashid & Lee sebagai peguam bela.

Zaki dilantik sebagai Ahli Suruhanjaya Khas Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia pada 4 Februari 2004 serta Pengerusi Jawatankuasa Teknikal bagi membantu Jawatankuasa Disiplin UMNO menyiasat kes-kes politik wang pada 1995.

Pada 7 Februari 2005, beliau dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO.

Alauddin pula mendapat pendidikan undang-undang di Inner Temple London pada 1970 dan pernah menjadi peguam di United Kingdom sebelum berkhidmat sebagai Majistret di Bukit Mertajam Pulau Pinang pada 1 Februari 1971.

Antara jawatan yang pernah disandangnya ialah Presiden Mahkamah Sesyen Seremban, Penasihat Undang-Undang Negeri Johor dan Pengerusi Lembaga Penasihat Jabatan Perdana Menteri, sebelum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 1 Ogos 1992.

Beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 1 April 2001 diikuti Hakim Mahkamah Persekutuan pada 17 Julai 2004 sebelum diumumkan sebagai Hakim Besar Malaya pada 29 Ogos 2007.

Sementara itu, Arifin yang berasal dari Kampung Repek, Pasir Mas, Kelantan mula berkhidmat sebagai Pegawai Undang-Undang pada 1974 setelah menamatkan pengajian di Universiti Sheffield, United Kingdom.

Beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1992 sebelum menjadi Hakim Mahkamah Tinggi pada 1994 dan Hakim Mahkamah Rayuan pada 2002 dan kemudian sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan mulai 17 Jun 2005.

Tiada ulasan: