HALAMAN SANTAI

Jumaat, 24 Oktober 2008

Enam ahli politik antara 64 ditahan BPR Perak tahun ini

BERNAMA


IPOH: Enam ahli politik merupakan antara 64 orang yang ditahan Badan Pencegah Rasuah (BPR) kerana disyaki terbabit dalam perbuatan rasuah di Perak dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Selain ahli politik, seramai tujuh pegawai kerajaan dalam kumpulan pengurusan dan profesional, 32 orang dalam kumpulan sokongan dan 19 orang awam turut ditahan tahun ini.

Pengarah BPR Perak Bahri Mohd Zin berkata jumlah tangkapan setakat ini telah melepasi jumlah 40 kes membabitkan empat pegawai kumpulan pengurusan dan profesional, lapan dalam kumpulan sokongan dan 28 orang awam sepanjang tahun lepas.

Berikutan peningkatan kes rasuah dan salah guna kuasa di negeri ini, katanya BPR negeri akan meningkatkan kempen penerangan mengenai jenayah rasuah dan kesannya terhadap ekonomi, sosial dan negara.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima tugas dari Samsiah Abu Bakar di sini hari ini.

Samsiah ditukarkan sebagai Pengarah BPR Sarawak berkuatkuasa 6 Okt lepas.

Majlis serah terima tugas itu disaksikan oleh Timbalan Ketua Pengarah II BPR Datuk Zakaria Jaafar.

Menurut rekod BPR negeri, Bahri berkata sebanyak 16 kes rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa di negeri ini telah diselesaikan di mahkamah sepanjang tahun ini.

Tiada ulasan: