BERNAMA
PULAU PINANG 24 Okt. – Kerajaan negeri telah meluluskan permohonan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) untuk memasang papan tanda nama jalan raya dalam pelbagai bahasa bagi kawasan tapak warisan di Georgetown sahaja.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bagaimanapun berkata, bukan semua jalan akan diletakkan dalam pelbagai bahasa hanya jalan-jalan tertentu untuk tujuan warisan dan bukan di seluruh negeri.
“Tanda nama jalan itu akan ditulis dalam tulisan jawi, Tamil dan Cina dan hanya untuk jalan tertentu sahaja, contohnya Lebuh Aceh, papan tanda nama jalan ditulis dengan tulisan jawi dan nama jalan dalam bahasa Melayu masih dikekalkan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.
Beliau berkata, pelaksanaan projek itu juga tidak akan melibatkan perbelanjaan yang banyak kerana penambahan itu hanya mengikut kesesuaian dan keperluan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Alam Sekitar Chow Kon Yeow menjangkakan pelaksanaan meletakkan nama jalan dengan pelbagai bahasa itu akan siap hujung tahun ini.
“Kita tidak akan membuang tanda nama yang lama cuma ada penambahan sedikit oleh itu ia tidak akan melibatkan kos yang tinggi dan tiada pembaziran,” katanya.
Sementara itu, Lim berkata, kerja-kerja membaik pulih 16 daripada 25 lif Komtar di sini dengan kos RM8.6 juta, yang sedang dilaksanakan akan siap sepenuhnya pada September tahun depan.
Katanya, kerja-kerja pembaikan lif itu yang berusia 25 tahun dilakukan secara berperingkat-peringkat bagi mengelakkan kesulitan kepada pengguna di Komtar, pusat pentadbiran kerajaan negeri dan pusat membeli-belah.
1 ulasan:
Ini bukan soal kos sahaja. Soal bila pula bahasa Mandarin dan bahasa Tamil menjadi bahasa dan tulisan rasmi negara ini perlu menjadi keutamaan. Hingga melayakkan tulisan tersebut diletakkan di papan tanda awam dan menjadi citra negara. Kerajaan negara ini adalah kerajaan Melayu, dan kita masih ada raja Melayu (DYMM Agong). Kita ada bahasa Melayu (bahasa Malaysia) dan kita ada kerajaan Melayu (kerajaan Malaysia). Ini negara Melayu perlu dicitrakan dengan kemelayuan dan bukannya citra keindiaan ataupun kecinaan. Hentikan mentaliti yang melihat Melayu dalam dimensi yang amatsempit (sudut kaum sahaja) sedangkan Melayu berdimensi luas seperti semua rakyat di negara ini rakyat Melayu walaupun pelbagai keturunan, jarang diperlihatkan.
Catat Ulasan