HALAMAN SANTAI

Sabtu, 25 Oktober 2008

Pensyarah UiTM cipta bahan api dari sisa kayu

Oleh Zabry Mohamad


SHAH ALAM - Seorang pensyarah muda Universiti Teknologi Mara (UiTM) berjaya menghasilkan sumber tenaga alternatif bahan bakar yang diperbuat daripada sisa kayu.

Lebih membanggakan, ciptaan Azil Bahari Alias, 30, itu memenangi Anugerah Obelix pada Pameran Rekaan British di London minggu lalu, iaitu pengiktirafan kepada produk yang dikategori sebagai terbaik di kalangan terbaik.

Rekaan beliau yang dinamakan wood char atau sisa kayu berjaya mengalahkan lebih 200 produk lain dari seluruh dunia.

Menurut Azil, kegunaannya adalah sama dengan arang batu iaitu sebagai bahan bakar di loji kuasa dan industri perkilangan.

Bagaimanapun jelas beliau, berbeza dengan arang batu yang mengeluarkan asap hitam dan abu, sisa kayu ciptaannya lebih mesra alam.

"Kebanyakan loji kuasa yang menggunakan arang mengeluarkan asap kotor sehingga membentuk hujan asid.

"Saya cipta produk ini kerana mahu mencari sumber tenaga alternatif lestari iaitu yang memberi perlindungan kepada alam sekitar secara kekal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis meraikan kejayaannya oleh Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Seri Dr. Ibrahim Abu Shah di sini hari ini.

Azil menjelaskan, beliau menjalankan penyelidikan selama tiga tahun sebelum berjaya menghasilkan rekaannya.

Beliau memberitahu, industri perkilangan tempatan berpotensi besar untuk memanfaatkan sepenuhnya produk berkenaan.

Ini kerana katanya, sebanyak 5.8 juta tan sisa kayu yang dihasilkan setiap tahun oleh pelbagai industri di negara ini dibuang begitu sahaja.

Selain itu, tambah beliau, harganya juga jauh lebih murah iaitu 30 sen sekilogram berbanding bahan bakar lain seperti arang batu yang mahal.

Tiada ulasan: