HALAMAN SANTAI

Rabu, 22 Oktober 2008

Abdullah Mahu Pastikan Kemenangan Najib

A Kadir Jasin


RAMAI pelawat blog kita ini memberi pandangan yang bernas dan menarik kepada “posting” bertajuk “Perihal Muhyiddin Lebih Layak Dan Dr M "Pengarah Pemilihan" Umno”.

Membaca komen-komen itu sebelum disiarkan, saya terfikir satu hal yang mungkin membuat Perdana Menteri dan Presiden Unmo, Abdullah Ahmad Badawi, begitu marah sehingga tergamak mengherdik bekas bosnya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Hal itu, tidak lain tidak bukan, adalah hasrat suci Abdullah hendak memastikan keputusannya memilih Mohd Najib Abdul Razak sebagai penggantinya tidak diganggu gugat oleh sesiapa pun, hatta Dr Mahathir.

Justeru itu, beliau tidak mahu sesiapa menjadi atau berpura-pura menjadi pengarah pemilihan pucuk pimpinan Umno yang sedang berjalan sekarang kerana dia takut harapan Mohd Najib akan terjejas.

Saya berkata begitu kerana Mohd Najib bukan sekadar pengganti Abdullah, tetapi dia adalah “pengganti pilihan” atau dalam bahasa Inggeris dipanggil “anointed successor”. Abdullah.

Sebelum bahagian-bahagian Umno memilih Mohd Najib sebagai calon Presiden dan bakal Perdana Menteri, Abdullah sudah memilihnya.

Bukan itu saja, pelan peralihan yang kini menjadi agenda Umno dan negara adalah hasil runding empat mata dua hati antara Abdullah dan Mohd Najib. Begitulah akrabnya Abdullah dan Mohd Najib.

Maka sangat wajarlah kalau Abdullah berasa adalah tugas dan tanggungjawab beliau memastikan pengganti pilihannya itu berjaya dengan cemerlang dalam pemilihan yang sedang berjalan sekarang.

Kalau Mohd Najib tidak dicalonkan oleh bahagian atau ditolak oleh perwakilan kemudian nanti, imej Abdullah akan turut tercemar.

Kalau mereka menolak Mohd Najib, kesimpulannya samalah dengan mereka menolak Abdullah. Belum pernah berlaku dalam sejarah Umno dan negara, di mana pengganti pilihan ditolak oleh bahagian dan perwakilan.

Apabila Dr Mahathir menamakan Abdullah sebagai pengganti pilihan pada tahun 2003, keputusan beliau diterima dan disokong walaupun ramai juga orang yang berasa Mohd Najib lebih berhak dan lebih layak.

Dipendekkan cerita, tugas dan tanggungjawab Abdullah yang paling penting dan mencabar daripada sekarang hingga hari pengundian Majlis Tertinggi adalah memastikan pengganti pilihannya dicalonkan oleh bahagian dan diundi oleh perwakilan.

Berpandukan keputusan pencalonan oleh bahagian-bahagian yang sudah bersidang, keputusan Abdullah menamakan Mohd Najib sebagai pengganti pilihan beliau mendapat sokongan total.

Tahniah kepada Abdullah dan Mohd Najib. Kalau trend ini berterusan, besar kemungkinan Mohd Najib tidak akan dicabar.

Selebihnya, serah sahajalah kepada Mohd Najib yang Abdullah sendiri sudah lantik sebagai pengganti pilihannya.

Tidak perlulah Abdullah memeningkan kepala memikirkan siapa yang akan bertanding atau tidak bertanding dan siapa akan menang dan kalah.

Itulah cara terbaik kerana Abdullah sendiri sudah membuat keputusan bijak untuk tidak mempertahankan jawatan parti, kecuali jawatan Ketua Bahagian Kepada Batas.

Bukan tugas dan tanggungjawab beliau lagi mengatur siapa bertanding jawatan mana dan siapa patut menang, siapa patut kalah, siapa yang patut disokong dan siapa yang patut dipancung. Melainkanlah jika beliau sendiri hendak menjadi pengarah pemilihan parti.

Kalau tujuan suci beliau adalah membantu Mohd Najib, maka beliau kenalah berunding dengan Mohd Najib sebelum mengambil sesuatu langkah atau sebaik-baiknya berilah sepenuh kepercayaan kepada Mohd Najib memilih barisannya.

Itulah yang secara tradisinya berlaku sejak dahulu lagi --Perdana Menteri pilih pengganti, pengganti pilih barisannya. Kalau dia hendak tolong juga, dia “endorse” pilihan penggantinya itu macam Allahyarham Tun Hussein Onn “endorse” Musa Hitam dan Dr Mahathir “endorse” Mohd Najib.

Kalau ahli Majlis Tertinggi mahu perhimpunan agung dan pemilihan dikembalikan semula ke tarikh asalnya iaitu Disember ini, keputusan itu perlu dihormati kerana ada kebaikannya.

Lagi lama proses pemilihan ditangguhkan, lagi banyaklah masa dihabiskan untuk berkempen dan dengan itu juga lebih banyaklah peluang dan kemungkinan politik wang dan politik peras ugut berlaku.

Oleh sebab pertandingan MT membabitkan ramai penjawat Kabinet dan Exco Negeri, adalah buruk jika mereka mengabaikan tugas mentadbir negara kerana terpaksa berkempen selama lebih empat bulan.

Katakanlah Abdullah tidak mahu berganjak dan hendak juga terus jadi PM hingga Mac, tak apalah. Berilah dia peluang dan jagalah air mukanya. Tetapi sangat elok dan cukup cantik kalau perhimpunan agung dan pemilihan boleh dibawa kembali ke tarikh asalnya Disember ini.

Ini politik. Ia bukan harta peribadi individu. Jadi Abdullah kenalah berkorban walaupun kita tahu dia seorang bapa, bapa mentua dan kawan yang penyayang yang mahu anak, menantu dan kawan-kawannya berjaya.

Tiada ulasan: