Oeh ZANARIAH ABD. MUTALIB
PETALING JAYA: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad dijangka akan mengumumkan penurunan beberapa harga barang keperluan pengguna yang bukan di bawah kawalan kerajaan hari ini.
Beliau dijangka akan mengumumkan penurunan beberapa barangan keluaran sebuah syarikat pengeluar dan pengilang yang mempunyai pasaran dunia yang agak besar pada pukul3 petang ini dalam sebuah majlis di Subang Jaya.
mStar Online difahamkan, beberapa lagi pengumuman yang sama akan dilakukan pada minggu hadapan berikutan persetujuan beberapa syarikat lain untuk menurunkan harga barang.
Ketika memberitahu mengenai pengumuman tersebut Selasa lalu, Shahrir menyifatkan peratus penurunan harga yang bakal diumumkannya nanti sebagai sesuatu yang mengejutkan.
"Anda akan terkejut dengannya," katanya kepada media di lobi Parlimen.
Semalam, ketika bercakap kepada media di Majlis Jamuan Hari Raya di kementeriannya di Putrajaya, Shahrir berkata, pengumuman hari ini sejajar dengan gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahu supaya semua industri dan peniaga menterjemahkan penurunan harga komoditi dan minyak melalui pelbagai cara sepatutnya.
Beliau berkata, kementerian telah mengadakan perbincangan mengenai penurunan harga barang dengan semua peniaga pasar raya besar, namun sehingga kini hanya terdapat satu syarikat yang bersetuju.
"Diharap dengan keputusan ini akan diikuti oleh syarikat lain, terutamanya dalam industri bahan makanan keperluan isi rumah," katanya pada di sini, semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan