Abdul Rahim Sabri
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan menyiasat dakwaan Suaram cawangan Johor berhubung penahanan aktivis Suaram Cheng Lee Whee di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebagai suatu tindakan salah guna kuasa oleh polis.
Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Khalid Ibrahim juga berkata, pihaknya juga akan menyiasat isu dakwaan kekerasan yang dilakukan oleh pihak polis terhadap penduduk Kampung Baru Plentong Tengah, di Pasir Gudang serta perhimpunan aman yang disertai penduduk kampung dan aktivis Suaram.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di pejabat Suhakam pagi tadi sewaktu menerima memorandum dari Suaram berhubung perkara tersebut.
Dalam memorandum itu, Suaram menyifatkan penahanan Cheng di bawah ISA sebagai satu salah guna kuasa oleh pihak polis.
"Adakah patut dia ditahan dan ditangkap kerana menghantar aduan dalam website dia (Portal Polis Kontinjen Johor)?," kata penyelaras Suaram Johor, Nyam Kee Han.
Dalam sidang media itu juga, Cheng turut menyatakan beliau tidak faham mengapa ditangkap oleh pihak polis.
Cheng ditahan mengikut Seksyen 28 ISA, berhubung aduannya berkaitan perobohan rumah di Kampung Baru Plentong Tengah, Johor Bahru pada 16 Oktober lalu.
Mengulas perkara itu, Dr Khalid berkata, Suhakam akan menulis surat kepada pihak polis untuk mendapatkan penjelasan terperinci mengenai sebab-sebab Cheng ditahan.
Minta pulang laptop
"Saya lihat (dalam laporan polis) tidak ada unsur-unsur hasutan di sini. Kita akan minta penjelasan dari balai polis di Johor Bahru.
"Kita akan menulis surat kepada mereka berkenaan sebab apa kamu (Cheng) ditahan," kata Khalid.
Khalid juga berkata, beliau akan membawa perkara itu ke dalam bengkel berkumpulan bahagian aduan dan pertanyaan yang dipengerusikannya pada 29 Oktober depan, sebelum tindakan lanjut diambil.
Sehubungan itu, Khalid meminta Suaram menyerahkan salinan keratan akhbar dan salinan laporan polis berhubung perhimpunan dan peristiwa tangkapan pada hari tersebut untuk tujuan siasatan pihaknya.
Dalam kejadian tersebut minggu lalu, kira-kira 20 buah rumah kosong telah dirobohkan.
Ekoran itu, 27 penduduk kampung serta seorang pemimpin PAS Johor telah ditahan untuk soal siasat.
Bagaimanapun, mereka dibebaskan dengan jaminan RM1,000 setiap seorang
Sehubungan itu, menurut Cheng lagi, beliau akan melaporkan diri ke mahkamah majistret pada jam 9 pagi 1 November depan.
Beliau bagaimanapun tidak dapat memastikan mahkamah yang mana satu.
Sementara itu, dalam memorandum itu juga, Suaram antara lain, menuntut agar suruhanjaya bebas ditubuhkan berhubung kes pengusiran secara paksaan di Kampung Baru Plentong Tengah.
Suaram juga menuntut agar polis memulangkan dengan segera laptop dan 'pendrive' milik Cheng.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan