HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 Oktober 2008

Guna duit KWSP RM5 bilion, kenyataan PM mengelirukan

Intan Abdullah


KUALA LUMPUR - Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC), Syed Syahir Syed Mohamud mendesak kerajaan menjelaskan persoalan berkaitan penggunaan wang Kumpulan Wang simpanan Pekerja atau KWSP berjumlah RM5 bilion bagi menyelamatkan syarikat saham besar, Value Cap.

"Saya keliru dengan kenyataan perdana Menteri, Timbalannya, menteri kewangan kedua yang menyatakan bahawa fundamental negara masih kuat bagi menghadapi krisis ekonomi.

"Jika kita sudah kuat, apa guna kita ambil RM5 bilion daripada KWSP? Ini semacam ada kontradiksi atau ada suatu yang tidak kena - yang mana satu betul ni?" katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Bahkan beliau turut mengemukakan beberapa persoalan lagi berhubung isu yang sama - menjelaskan lagi rasa tidak puas hati pihak MTUC dengan kenyataan pemimpin negara tersebut.

"Persoalan saya ialah untuk apa RM5 bilion tersebut digunakan? Sejauhmana ketelusan proses pengambilan dan urusan bail-out tersebut dijalankan dan apa manafaat yang diperolehi pencarum KWSP khususnya golongan berpendapatan rendah kesan daripada tindakan tersebut?

"Walau apapun tindakan yang dibuat kerajaan, wang tersebut tetap wang milik rakyat dan ianya tidak boleh diperlakukan sewenang-wenangnya," ujarnya.

Mengulas lanjut tindakan yang akan dibuat MTUC mengenai isu tersebut, Syed Syahir menjelaskan pihaknya berkemungkinan akan mengajukan hal tersebut kepada perdana menteri atau menteri kewangan setelah selesai mengadakan perbincangan dengan jawatankuasa MTUC.

Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan AJK Bersih meminta pihak yang terbabit dengan desas-desus cadangan pemecatan 50,000 pekerja kontrak di Jabatan Perkhidmatan Awam agar tampil memberi penjelasan bagi meleraikan permasalahan tersebut.

"Kita minta pihak yang terbabit menjelaskan apa cerita sebenarnya di sebalik kesemua ini? Ianya masih belum jelas," katanya tegas.

Isu tersebut telah mendapat perhatian banyak pihak namun pihak Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam,Tan Sri Ismail Adam telah memberikan maklumbalas mengenai hal tersebut.

"Tetapi jawapan yang diberikan masih belum jelas," ujarnya lagi.

Walau bagaimanapun, beliau tetap mengingatkan para peniaga agar tidak terlalu cepat bertindak dengan dengan hanya merujuk kepada suatu isu yang tidak mempunyai asas dan latar belakang yang kukuh. - mks._

Tiada ulasan: