HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 Oktober 2008

1,263 mangsa masih di pusat pemindahan

UTUSAN ONLINE


ALOR STAR - Seramai 1,263 mangsa banjir daripada 323 keluarga masih berada di lima pusat pemindahan sementara di empat daerah meskipun banjir yang melanda negeri ini sejak Isnin lalu dilaporkan semakin pulih.

Jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah berkata, kesemua mangsa yang belum dibenarkan pulang ialah dari daerah Kota Setar melibatkan 12 kampung, Pendang (dua kampung) dan masing-masing satu kampung di Kubang Pasu serta Bandar Baharu.

Menurutnya, sehingga pukul 5 petang ini, seramai 754 mangsa di daerah Kota Star masih berada di dua pusat pemindahan iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Gunong melibatkan 550 orang manakala bakinya berada di SK Titi Gajah.

Kampung yang masih belum pulih daripada banjir di daerah itu ialah Alor Senjaya, Alor Perang, Belakang Pam Air, Bohor, Simpang Empat, Alor Gunong, Alor Melintang, Alor Pial, Alor Gonchar, Gunung Keriang, Sungai Baru dan Pulau Kerengga.

Jurucakap itu berkata, mangsa banjir di daerah Pendang masih kekal seramai 226 orang melibatkan 54 keluarga dari Kampung Sukamari dan Kampung Padang Rizab.

"Keadaan air yang bergerak perlahan menyebabkan banjir di situ tidak banyak berubah. Mereka kini ditempatkan di Kompleks Rakan Sukan Tanah Merah, Pendang," katanya.

Menurutnya, jumlah mangsa banjir di daerah Kubang Pasu pula meningkat kepada 235 orang berbanding 215 mangsa semalam.

Kesemua mangsa, katanya, melibatkan 63 keluarga dari Kampung Budi dan mereka ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Inderaputra.

Mangsa banjir di daerah Bandar Baharu, menurut jurucakap itu, turut bertambah sebanyak 44 orang menjadikan jumlah keseluruhan 48 orang daripada 12 keluarga berbanding hanya empat orang semalam.

Tiada ulasan: