MALAYSIA KINI
Walaupun pelantikan beliau sendiri dalam kontroversi, Ketua Hakim Negara memberi kata dua kepada hakim dan pegawai kehakiman yang gagal memberikan perkhidmatan terbaik - terus berkhidmat atau tinggalkan institusi kehakiman.
Dalam ucapan sulungnya bersempena majlis angkat sumpahnya hari ini, Tan Sri Zaki Tun Azmi menambah, mereka haruslah memikul bebanan itu bagi kepentingan awam jika memilih untuk kekal berkhidmat.
"Oleh itu, kita harus sentiasa mengingatkan diri kita, bahawa gaji kita dibayar dari kocek rakyat. Betapa besar pun kepentingan kita dan betapa resahnya kita atas layanan itu, kita mesti ingat, kepentingan awam adalah jauh lebih besar," katanya di Putrajaya hari ini.
Zaki, 63, dilantik menjadi ketua hakim negara ke-12 menggantikan Tun Abdul Hamid Mohamad yang bersara wajib pada 17 Oktober lepas.
Pada majlis itu, lapor Bernama, Zaki menyaksikan Hakim Besar Malaya Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff mengangkat sumpah dan menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia sebagai Presiden Mahkamah Rayuan menggantikan Zaki.
Alauddin mengangkat sumpah di hadapan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Gopal Sri Ram.
Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Arifin Zakaria pula mengangkat sumpah sebagai Hakim Besar Malaya menggantikan Alauddin.
Arifin mengangkat sumpah di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk T Selventhiranathan.
Turut hadir pada majlis itu, dua bekas ketua hakim negara Tun Abdul Hamid dan Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, serta hakim-hakim mahkamah persekutuan, rayuan dan tinggi.
Zaki dalam ucapannya menegaskan beliau tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas dan drastik terhadap segelintir hakim dan pegawai kehakiman yang gagal menunaikan tanggungjawab mereka dengan baik.
"Mereka yang segelintir inilah yang telah mencemarkan imej institusi kehakiman kita. Jika mereka tidak jujur, mereka boleh juga dianggap tidak bertanggungjawab," beliau dipetik sebagai berkata.
Tambahnya, gejala itu perlu diperbaiki dengan segera sebelum ia merebak dan sekiranya wujud amalan ampu-mengampu "saya kata, hentikanlah".
Zaki berkata daripada pengamatannya selama setahun yang lepas, beliau tidak meragui terdapat hakim dan pegawai kehakiman yang telah bekerja keras dalam menjalankan tugas mereka.
"Saya akan pastikan usaha dan kerja keras mereka ini tidak sia-sia. Buktikanlah bahawa anda berhak menerima ganjaran dan saya akan mengusahakannya untuk anda," katanya.
Zaki berkata tugas besar yang perlu dihadapi oleh institusi kehakiman adalah mengatasi masalah kes-kes tertunggak dan kelewatan menyelesaikan kes.
Jelasnya, beliau tidak mengimpikan untuk memegang jawatan hakim Mahkamah Persekutuan yang merupakan satu tanggungjawab yang amat berat.
"Tidak berapa lama selepas itu, saya pula diberi tugas sebagai presiden Mahkamah Rayuan. Dalam tempoh yang singkat, saya telah cuba melakukan yang terbaik mengikut kemampuan saya," katanya.
Beliau berkata tidak ramai yang mengetahui pembaharuan yang telah dilaksanakan di bahagian pendaftaran di Mahkamah Rayuan, antaranya mempercepatkan kaedah pendaftaran dengan surat-menyurat dibalas dengan segera dan kerenah birokrasi di bahagian itu kini paling minimum.
Katanya, pengalaman beliau dalam bidang komersial mungkin membolehkan beliau memahami isu-isu pentadbiran sesuatu jabatan dengan lebih teliti.
Zaki turut merakamkan penghargaan kepada Abdul Hamid kerana telah merintis jalan baginya untuk sampai ke tahap itu sambil meninggalkan suatu tanda aras yang cemerlang untuk beliau ikuti.
"Mudah-mudahan saya tidak akan mengecewakan beliau (Abdul Hamid)," katanya.
Zaki, anak ketua hakim negara yang kedua, allahyarham Tun Azmi Mohamed, berkata sekiranya bapanya masih ada pasti gembira kerana beliau mengikut jejaknya.
Zaki ketika ditemui media selepas selesai majlis itu hanya berkata :
"Tulislah apa yang saya cakap dalam ucapan saya. Tidak perlu dihuraikan lagi. Saya bukan ahli politik."
Pelantikan Zaki dalam badan kehakiman pernah mencetuskan kontroversi ekoran kaitannya sebelum ini dengan Umno.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan