HALAMAN SANTAI

Khamis, 23 Oktober 2008

Pelajar ke Jakim isu pegawai UPM

Jimadie Shah Othman


Sewaktu mulai reda isu dua pelajar cemerlang Universiti Putra Malaysia (UPM) dibuang asrama, universiti itu kini berdepan satu lagi isu panas yang dibangkitkan oleh pelajarnya.

Seorang pegawainya dituduh menyentuh sensitiviti agama apabila didakwa berkata "tidak guna solat kalau tidak bayar yuran" kepada seorang aktivis pelajar sewaktu dua mahasiswi tersebut diarahkan keluar asrama minggu lepas.

Nor Farhana Farzieana Azmi dan Nur Shafiqa Mohd Ali mulai semalam dibenarkan kembali menginap di Kolej Tun Perak sepanjang minggu peperiksaan yang sedang berlangsung.

Persatuan Mahasiswa Islam UPM (PMIUPM) membuat aduan tersebut kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Putrajaya hari ini berhubung kenyataan pegawai Bahagian Hal Ehwal Pelajar itu yang disifatkan boleh menimbulkan kekeliruan.

"Kami harap pihak Jakim dapat merujuk perkara ini dengan universiti dan beliau (pegawai terbabit) harus minta maaf," kata presidennya Mohd Safwan Ab Ghani, yang membuat aduan tersebut, kepada Malaysiakini.

"Kenyataan itu mengelirukan. Tambahan pula ada seorang pelajar muallaf di situ (pada masa kejadian)."

Mohd Safwan, yang baru sebulan memegang jawatan presiden persatuan berpengaruh itu berkata, beberapa pelajar yang menjadi saksi kejadian turut hadir.

Ketika pindah barang

Mereka turut menamakan pegawai berkenaan dalam aduan yang dihantar kepada Jakim itu.

Menurut Mohd Safwan, aduan tersebut diserahkan kepada bahagian perhubungan awam jabatan agama itu.

Pada 15 Oktober lepas, pegawai tersebut didakwa pernah berkata kepada Mohd Lukman Al-Hakim Low Abdullah sewaktu sekumpulan pelajar hadir untuk melihat Nor Farhana Farzieana dan Nur Shafiqa memindah keluar barang-barang dari kolej tersebut.

Kedua-dua pelajar wanita itu dibuang dari Kolej Tun Perak atas alasan "tinggal secara tidak sah".

Pegawai berkenaan enggan mengulas sewaktu dihubungi sebentar tadi.

Sementara itu Malaysiakini juga cuba mendapatkan reaksi Mohd Lukman Al-Hakim berhubung insiden ini yang didakwa melibatkan pertengkaran kecil antara aktivis pelajar ini dengan pegawai berkenaan.

Difahamkan satu laporan polis dibuat di sebuah balai di Serdang berkaitan kejadian tersebut.

Tiada ulasan: