HALAMAN SANTAI

Jumaat, 24 Oktober 2008

Rais jadi anak yatim bila Umno 'mati' akibat politik wang

Safar Jumaat


Calon Naib Presiden Umno, Dato' Seri Dr Rais Yatim kelihatan antara calon yang paling gelisah, selepas dua calon lain, Tan Sri Annuar Musa dan Dato' Seri Shahidan Kassim mengumumkan penarikan diri mereka, kerana 'kurang sambutan' dari bahagian-bahagian, setelah masuk minggu ketiga, persidangan bermula.

Berbeza dengan Annuar dan Shahidan, Rais kelihatan tidak dapat mengawal perasaannya, kerana setiap kali dia menyatakan hasratnya mahu bertanding, tiada sorak-sorai dari bahagian-bahagian Umno, sedangkan calon-calon yang lebih muda, begitu 'gagah berlari' meninggalkannya yang sudah semakin berusia.

Kemarahan Rais itu diluahkan sekali dengan dakwaan mengatakan ada segelintir pihak meminta 'habuan' sebagai balasan untuk mencalonkannya bagi jawatan Naib Presiden Umno. Harap-harapnya, selepas Rais yang pernah mendapat pelbagai gelaran dari media massa, sebagai 'pakar Perlembagaan dan pakar undang-undang' turut membuat aduan rasmi kepada Lembaga Disiplin Umno, yang diketuai bekas Menteri, Tengku Ahmad Ritahuddeen Ismail, supaya Umno yang sudah sakit ini, boleh diubati.

Jika tidak, Rais nanti akan dianggap sebagai salah seorang yang 'menyokong' kepada 'kematian' Umno yang sudah sakit dan penyakit itu, termasuklah penyakit politik wang yang membarah sejak bertahun-tahun, sehingga ada dakwaan dibuat oleh bekas Presiden Umno, bermula sejak pertandingan Dr Mahathir ditentang Tengku Razaleigh Hamzah.

Rais yang juga Menteri Luar mengatakan, majoriti ahli Umno lebih berminat untuk mendapatkan hasil daripada pemilihan parti itu berbanding memilih calon yang layak untuk mengisi jawatan tertenu. Kata-kata Rais ini, jika diteliti secara mendalam, bererti, ada antara calon-calon yang mendapat pencalonan (khususnya yang sudah cukup quota untuk bertanding - 20 pencalonan untuk kerusi Naib Presiden) diminati oleh bahagian-bahagian, kerana adanya 'habuan'.

Walaupun salah seorang calon Naib Presiden, Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi sudah menafikan dakwaan Rais itu, tetapi disebabkan Rais rajin bercakap, seolah-olah apa yang dicakapkannya itu, memang berlaku dan Umno akhirnya, Rais cadangkan membuat sistem tender untuk merebut satu-satu jawatan.

Jika isu habuan, menyebabkan Ahmad Zahid menjawab kenyataan Rais, Shahidan Kassim pula, menegur Rais dengan kata-kata, Raislah yang patut ditender terlebih dahulu dan Shahidan akan membidanya dengan tawaran RM1.

Di usia tua dan ketika mengalami 'penyakit tua' seperti kata bekas Timbalan Presiden Umno, Tun Musa Hitam, parti ini mempunyai barisan pemimpin seperti Rais - menegur kerana dia tidak mendapat pencalonan sebagaimana Dato' Seri Hishammuddin Hussein, Dato' Seri Shafie Afdal, Dato' Seri Khaled Nordin dan Zahid dapat.

Malahan, Rais yang berjawatan Menteri Luar, tertinggal di belakang mereka yang tidak berjawatan seperti Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad. Kenapa jadi seperti ini?

Apakah benar dakwaan Rais itu atau, Rais sendiri dilihat tidak ada 'sentuhan terus' dengan ahli-ahli. Malahan, di Bahagian Jelebu sendiri, yang Rais menjadi ketuanya, Raid ditentang sengit oleh timbalannya, Dato' Yunus Rahmat.

Tidak ada apa yang pelik apabila Rais ditentang Yunus dan Rais menang dengan majoriti 11 tetapi, sejarah hubungan Yunus dengan Rais, mula dibuka lebaran demi lebaran. Bukankah Yunus pernah menjadi Setiausaha Sulit dan Setiausaha Politik kepada Rais?

Bukan Yunus pernah menjadi Ketua Umno Bahagian Jelebu, sebelum menyerahkannya kepada Rais. Tetapi, kenapa mereka 'bergaduh' sekarang?

Ketika Rais menerima pencalonan Naib Presiden dari Bahagian Pagoh yang diketuai Tan Sri Muhyiddin, sepatutnya, bahagian-bahagian lain yang belum mengadakan mesyuarat 'nampak' signal yang mahu disampaikan Muhyiddin, seorang calon Timbalan Presiden Umno yang popular.

Malangnya, 'signal Muhyiddin' ini tidak berjaya mempengaruhi bahagian-bahagian lain, kerana watak dan peribadi Rais itu sendiri.

Biasanya dalam Umno, pencalonan dari bahagian-bahagian tertentu, contohnya Kubang Pasu ketika Dr Mahathir Mohamad menjadi Presiden, Permatang Pauh, ketika Dato' Seri Anwar Ibrahim menjadi Timbalan Presiden, Kepala Batas (Abdullah Ahmad Badawi) dan Pekan (Najib Tun Razak) akan membawa kesan kepada pencalonan dan kemenangan seseorang calon.

Namun, dalam kes Rais, jika dia terus meradang, rugilah Umno Bahagian Pagoh yang mencalonkan namanya kerana jika Rais gagal mengutip cukup pencalonan, sia-sia sahaja pencalonan yang diterimanya dari bahagian-bahagian tersebut, termasuk Pagoh.

Sedangkan, sepatutnya nama lain yang berpotensi menang diberikan peluang. Ketika ada dakwaan mengatakan orang Umno meminta habuan, ramai yang percaya jika 'ada sentuhan' antara seseorang Menteri (dari Umno) dengan pemimpin dan ahli Umno di bawah, mereka tidak akan mengalami pengalaman pahit seperti ini.

Dalam kes sentuhan ini, Zahid Hamidi, Hishammuddin, Khalid dan Mohd Isa mungkin mengatasi calon-calon lain.

Mereka berkawan, berhubung dan berjumpa dengan seramai mungkin ketua-ketua bahagian dan ahli-ahli Umno, sepanjang masa, walaupun ketika tidak ada pemilihan.

Ketika Rais meminta ahli parti memilih pemimpin yang layak untuk mengisi jawatan tertentu, janganlah marah kalau ahli memikirkan sebaliknya!

Ahli parti nampak, Rais tidak layak, maka mereka tidak mahu mencalonkannya.

Disebabkan mereka nampak Rais seorang yang 'mendakwa dirinya layak' maka mereka mahu mengubat kekurangan Rais itu dengan 'top-up' atau 'touch-up', yang menyebabkan Rais mendedahkan ada kalangan tertentu, meminta habuan darinya.

Inilah Umno, jawatan Menteri tidak menjanjikan mereka selesa untuk bertanding apa-apa jawatan. Menteri boleh kalah dalam pilihan raya, bukanlah bermakna ahli-ahli Umno sahaja menolak mereka, malahan, yang bukan dari kalangan Umno juga tidak menerima mereka.

Sejarah juga membuktikan ada Menteri kalah sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) walaupun, Menteri itu, bukan calang-calang.

Cuba ambil sedetik masa, bermuhasabah diri masing-masing. Apakah yang mereka lakukan terhadap ahli-ahli Umno di bawah, ketika mereka berjawatan dalam parti dan kerajaan?

Walaupun Rais pernah digelar sebagai 'pasangan sedondon' dengan isterinya dalam banyak majlis-majlis rasmi, tetapi tahukah dia bahawa itu bukan publisiti yang menguntungkannya?

Ada Menteri (Umno) bila berdepan dengan orang ramai, baik bukan main, tetapi bila ada permintaan orang biasa ini mahu berjumpa dengannya, para pegawainya akan 'menapis dan menepis' hingga tidak dapat berjumpa. Kempen-kempen dari mulut ke mulut ini, berkesan.

Kesannya, apabila mereka ingin dan kepingin untuk bertanding! Ketika Rais merasakan dia layak menjadi Naib Presiden, para perwakilan (dan bahagian-bahagian) mungkin merasakan Rais hanya boleh diundi jika bertanding kerusi ahli MT.

Mengapa tidak Rais yang cekap berbahasa ini, tidak 'mengukur sokongan' terlebih dahulu sebelum membuat penawaran diri bertanding Naib Presiden?

Tidak manis, jika kita tidak mendapat sokongan, kita mahu mengambarkan diri kita sebagai layak tetapi orang lain yang mendapat sokongan, kita merasakan mereka semuanya 'memberi habuan' kepada bahagian-bahagian untuk mendapat pencalonan.

Kita merasakan kita layak sedangkan orang-orang di bawah tidak sependapat dengan kita, apa boleh kita buat?

Tidak elok, ketika kita membuat sindiran dan komentar menegur orang lain, termasuk Menteri-Menteri yang membuat komen terhadap sikap Dr Mahathir mengenai pemilihan ini, kita pula tidak berani menegur kelemahan dan kesilapan diri kita sendiri.

Tidak usahlah Rais cuba memperbaiki sistem yang ada dalam Umno atau budaya yang sudah berakar umbi ini kerana mereka yang 'meminta habuan' masih ada di situ, walaupun Rais mungin sudah bersara.

Bila semua ini akan berakhir apabila hayat Umno berkubur bersama-sama idealisme perjuangan mereka yang sudah lapuk!

Secara jenaka, seorang teman memberitahu, jika Presiden Bush menjadi Presiden Umno... dia pun akan lari tengah malam kerana tidak mampu melayan semua karenah yang ada, kecuali orang-orang Umno sendiri yang sudah faham dan masak dengan telatah buruk ini. - mr_

Tiada ulasan: