HALAMAN SANTAI

Sabtu, 25 Oktober 2008

Dun Selangor: Speaker kecewa Ketua Pembangkang gagal hadir

Saidah Hairan


SHAH ALAM - Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor (Dun), Teng Chang Khim berasa bangga dengan minat dan keaktifan Adun khususnya daripada Pakatan Rakyat kerana mengambil bahagian dalam semua perkara yang dibawa oleh pihak kerajaan.

Beliau yang sentiasa tersenyum ketika menjalankan tugas sebagai Speaker berkata, sampai ke peringkat Jawatankuasa untuk Rang Undang-undang Perbekalan mereka serius membincangkannya.

Katanya, hampir setiap Jawatankuasa itu sudah ditentu masalah-masalah atau isu yang berlaku di kawasan mereka dibawa dengan begitu teliti dalam mesyuarat.

"Bagi saya ini satu perkembangan yang amat baik di mana Dun tidak lagi dipandang sebagai 'rubber stamp' untuk meluluskan usul ataupun cadangan daripada pihak kerajaan, semua diteliti dan disemak," tegas beliau ketika ditemui di dewan Annex.

Sekiranya sikap itu dapat dikekalkan maka Dewan akan memperolehi pendapat yang sepatutnya pada Dewan yang membuat satu badan perundangan, katanya.

"Saya ucapkan syabas kepada semua wakil rakyat khususnya Adun kerajaan Pakatan Rakyat kerana menunjukkan persembahan yang baik walaupun kebanyakannya adalah orang baru," ujarnya.

Tanpa mengambil pendirian parti beliau rasa kecewa kerana dalam sesi jawapan exco kerajaan sebelah petang Khamis dan Jumaat, Ketua Pembangkang, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo dan majoriti Adun BN tiada dalam dewan.

Itu suatu teladan yang tidak baik," kata Teng. Ketika Teng menjadi Ketua Pembangkang, beliau akan memastikan setiap Adun mengikuti persidangan sehingga habis melainkan ada suatu perkara yang perlu disegerakan.

Menurut beliau, jarang sekali pihak pembangkang penggal lalu (DAP) melepaskan tanggungjawab mereka.

"Saya berharap pihak pembangkang (BN) jangan masih lagi berada dalam keadaan kekecewaan pada kekalahan pilihan raya umum yang lalu tetapi mereka patut menghargai sokongan rakyat kepada mereka untuk menjadi pembangkang bagi memberikan 'check and balance' kepada kerajaan," tegasnya.

Beliau berharap pada minggu hadapan dan masa akan datang mereka akan memandang lebih serius tugas dan tanggungjawab mereka sebagai pembangkang untuk menyemak kerja-kerja pihak kerajaan. - lanh _

Tiada ulasan: