HALAMAN SANTAI

Sabtu, 25 Oktober 2008

Pasar raya besar setuju turun harga

my metro


SUBANG JAYA: Beberapa pasar raya besar bersetuju menurunkan harga barang yang akan diumumkan minggu depan sebagai menyahut gesaan kerajaan serta kesan terhadap penurunan harga bahan mentah dan minyak di pasaran dunia.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad, berkata langkah proaktif itu dilakukan atas inisiatif mereka walaupun kerajaan tidak memberi sebarang tekanan kepada syarikat berkenaan.

“Langkah ini sebagai menyambut gesaan kerajaan supaya menurunkan harga tanpa memberi penekanan kepada mana-mana pihak.

“Kita boleh kawal harga beras, tetapi tidak boleh kawal sekiranya ia dimasak menjadi nasi. Begitu juga dengan tepung. Oleh itu, kita mengharapkan peniaga dapat mengambil tindakan sama seperti pasar raya terbabit,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Penurunan Harga Susu Tepung Nural di sini, semalam.

Pada sidang media itu, beliau turut mengumumkan Indeks Harga Pengguna (IHP) oleh Jabatan Perangkaan yang mencatatkan penurunan kepada 8.2 peratus bulan lalu daripada 8.5 peratus pada Ogos.

Bagi tempoh Januari hingga September tahun ini pula, IHP meningkat 5.2 peratus kepada 110.9 berbanding tempoh sama tahun lalu.

Sementara itu, Shahrir berkata, industri tepung turut mengambil langkah sama menurunkan harga tepung diperkaya sebanyak 12 peratus bagi setiap kilogram (kg).

“Ini juga inisiatif industri tepung menurunkan harga kerana tepung diperkaya bukan barang kawalan kementerian,” katanya.

Sebelum ini, Persatuan Pengilang Roti Bumiputera Semenanjung (PPRBS) mengadu tindakan pengilang tepung yang menaikkan harga tepung diperkaya untuk pembuatan roti dan kek sebanyak RM10 untuk satu beg 25kg, berkuat kuasa 18 Mac lalu.

“Bagaimanapun, apa yang menjadi masalah kita ialah kementerian tidak mampu mempengaruhi harga makanan masak yang dijual di gerai serta restoran.

Tiada ulasan: