Azamin Amin
KUALA LUMPUR -Angkasawan pertama negara, Dato' Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha didakwa mengenakan bayaran sejumlah RM8,000.00 untuk satu jam berceramah, semenjak menerima pelbagai jemputan di seluruh negara setibanya dari angkasa lepas 21 Oktober tahun lalu.
Bayaran tersebut tidak termasuk penginapan hotel, tambang pengangkutan seperti penerbangan bagi ceramah yang diadakan di luar kawasan atau 'long distance' seperti Sabah dan Sarawak.
Menurut satu sumber korporat, Sheikh Muszaphar boleh memperolehi kira-kira RM1.2 juta hasil bayaran yang ditetapkan sehingga boleh menjadi 'jutawan segera' dalam masa singkat jika dikira secara purata sejumlah 150 badan korporat yang menganjurkan ceramah angkasawan sebelum ini.
Ramai yang telah membuat aduan dan dakwaan bahawa angkasawan terbabit tidak sepatutnya meraih keuntungan di sebalik kejayaannya yang ditaja melalui wang rakyat Malaysia sejumlah RM95 juta apatah lagi beliau merupakan seorang pegawai kerajaan yang berkhidmat di bawah Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Sheikh Muszaphar juga pernah menjawab kritikan lantaran dilihat menyertai kempen-kempen pilihan raya ke-12 lalu di bawah anjuran Barisan Nasinonal (BN).
"Saya kini milik negara dan kehadiran saya hanya untuk memenuhi undangan bagi sesi ceramah motivasi kepada pelajar, jadi saya tidak melihat majlis ini mempunyai agenda tertentu, sama ada untuk membantu kempen pilihan raya dan sebagainya," katanya yang dipetik daripada Bernama 26 Februari lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan