HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Oktober 2008

Kebebasan media di Malaysia lebih buruk daripada Afrika

Intan Abdullah


KUALA LUMPUR - Kedudukan tahap kebebasan media Malaysia yang semakin merudum membuktikan bahawa ia disebabkan oleh kerajaan Umno-BN sendiri.

Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar berkata keadaan tersebut berpunca daripada kerajaan sendiri yang membina imej buruk tersebut di mata dunia.

"Selama ini, mereka hanya pandai menuduh pembangkang yang menghasut negara luar dengan memberikan gambaran buruk tentang negara ini.

"Sekarang, kita dapat lihat sendiri penilaian negara luar terhadap negara kita. Sebenarnya ia menunjukkan kerajaanlah yang menjadi penyebab kepada imej negara yang buruk," katanya kepada Harakahdaily.

Tegasnya, kerajaan Umno-BN seolah-olah masih tidak menginsafi tindakan rakyat menolak mereka dalam pilihan raya umum ke-12 Mac lalu.

"Sepatutnya mereka insaf dan memperbaiki kesalahan dan kesilapan mereka kepada media dan rakyat, bukan memburukkannya," katanya lagi.

Ahli Parlimen Pokok sena itu berkata, tindakan kerajaan yang gagal menangani isu ekonomi dunia yang memberi kesan kepada negara juga turut ditutup daripada mata rakyat dan dunia dengan menggunakan media.

"Malangnya, dengan kecanggihan telekomunikasi dan jaringan maklumat tanpa sempadan rakyat kini semakin bijak menggunakan kemudahan yang kian luas di laman-laman web," katanya menjelaskan keresahan rakyat selepas tekanan kerajaan sehingga beralih kepada media alternatif.

Sementara itu, seorang wartawan veteran, said Zahari Ali berkata, sekatan kerajaan ke atas media di negara ini adalah bermotifkan politik akibat tergugat dengan senario yang tidak memberikan keuntungan kepada mereka mutakhir ini.

"Di negara ini, kebebasan bersuara dan menulis banyak tertakluk kepada undang-undang," ujarnya.

Jelasnya, kerajaan membuat banyak akta bagi mengekang kebebasan media bagi memastikan kekuasaan mereka tidak terancam.

"Akhbar misalnya, kini sudah tidak lagi bebas apatah lagi media arus perdana telah dimiliki kerajaan.

"Ia juga sepatutnya tidak perlu dilesenkan dengan memberikan kuasa kelulusan permit kepada seorang menteri sahaja.

"Hal ini bertambah buruk dengan adanya Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA iaitu benda yang paling teruk bagi menjayakan hasrat mereka," katanya lagi.

Apapun keadaan indeks tersebut, baginya kini kebebasan akhbar tidak lagi wujud.

Kebebasan media di Malaysia jatuh merudum di mata antarabangsa apabila kedudukannya dalam Indeks Kebebasan Akhbar merosot lagi lapan anak tangga.

Daripada 173 negara yang ditinjau, Malaysia berada di tangga ke 132 berbanding 124 pada tahun lepas, demikian menurut organisasi pemantau kebebasan media, Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) yang berpangkalan di Paris.

Kedudukan baru ini meletakkan Malaysia lebih teruk berbanding tahap kebebasan di beberapa negara Afrika seperti Nigeria (di tangga 131) dan Cameroon (129) dan hanya baik sedikit berbanding Chad (133), Sudan (135) dan Bangladesh (136).

Tahun lalu, Malaysia merosot mendadak sebanyak 32 anak tangga berbanding kedudukan ke-92 pada 2006. Menurut laporan RSF, kerajaan Malaysia menerima "kritikan menggunung" bawah pemerintahan Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi akibat mengenakan tindakan keras terhadap media, termasuk penulis blog.

Media utama selalunya terpaksa mengecilkan liputan atau mengabaikan banyak program parti pembangkang dan NGO, misalnya demonstrasi Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) tahun lepas dan mengarahkan media menghentikan perbahasan tentang isu-isu ISA.

Kes-kes lain termasuklah pengharaman akhbar Tamil Makkal Osai, penulis blog juga tidak terlepas daripada mendapat ancaman saman dan tangkapan polis, lapor RSF.

Petugas media beberapa akhbar seperti Malaysia Nanban dan Guangming Daily turut diserang oleh penyokong parti kerajaan.

Laporan itu juga mendakwa, media-media arus perdana didapati dikawal kerajaan dan mengamalkan swa-saringan.

Negara-negara jiran menikmati kebebasan akhbar yang lebih baik - dengan Indonesia di tangga ke-111 dan Thailand (124).

Bagaimanapun indeks kebebasan Singapura lebih buruk daripada Malaysia di kedudukan 144.

RSF merupakan organisasi terkenal yang memantau kebebasan akhbar di seluruh dunia sejak 1985. - mns_

Tiada ulasan: