HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Oktober 2008

Kelantan setuju kaji elaun wakil rakyat

UTUSAN ONLINE


KOTA BHARU - Kerajaan negeri bersetuju untuk mengkaji semula elaun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi meringankan bebanan mereka dalam melaksanakan tugas untuk membantu rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa berkata, sekiranya dipersetujui, elaun wakil rakyat akan meningkat 30 peratus menjadi RM4,840 sebulan berbanding sekarang RM3,600 sebulan.

Beliau berkata, cadangan supaya elaun tersebut dinaikkan dengan menyamai gred N52 kakitangan kerajaan adalah munasabah dan setimpal dengan beban yang terpaksa ditanggung oleh wakil rakyat berbanding pihak lain.

"Saya secara peribadi bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh Datuk Nozula Mat Diah (BN-Paloh) supaya elaun dinaikkan, untuk makluman, kita tidak mengikut langkah kerajaan Pusat yang telah menaikkan elaun Ahli Parlimen sebanyak dua kali sebelum ini.

"Bagaimanapun cadangan ini perlu dibawa ke mesyuarat Exco terlebih dahulu untuk dibincangkan sebelum sebarang keputusan dibuat. Ia juga melibatkan peruntukan kecil iaitu RM690,000 setahun," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika menggulung perbahasan Bajet 2009 pada sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Semalam, ketika sesi perbahasan bajet, wakil pembangkang, Nozula meminta kerajaan menyemak semula kadar elaun RM3,600 sebulan bagi wakil-wakil rakyat kerana mereka terbeban dengan tanggungjawab membantu banyak aspek keperluan rakyat.

Beliau menyifatkan kadar itu kecil pada masa sekarang dan menegaskan wakil-wakil rakyat tidak harus takut dikritik dalam soal itu kerana rakyat tentunya memahami.

Menurutnya, wakil-wakil rakyat Pas mungkin keberatan untuk menyuarakannya tetapi mereka sedar tidak mampu untuk menghulurkan bantuan dengan elaun tersebut.

Husam berkata, dengan kenaikan harga barang dan bahan bakar, kadar elaun tersebut tidak mampu untuk menampung kos perbelanjaan wakil rakyat kerana ia bukan sahaja digunakan untuk keperluan peribadi tetapi dikongsi bersama rakyat.

"Sebagai contoh, jika dahulu wakil rakyat hanya perlu mengeluarkan wang sebanyak RM10 ketika pergi kenduri kahwin tetapi kini jumlahnya mungkin bertambah dua kali ganda, RM30.

"Saya harap selepas ini semua wakil rakyat berdoa agar ahli Exco dan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersetuju dengan cadangan ini," katanya.

Tiada ulasan: