HALAMAN SANTAI

Jumaat, 24 Oktober 2008

Majlis Fatwa haramkan perbuatan wanita

BERNAMA


KOTA BHARU - Majlis Fatwa Kebangsaan semalam membuat ketetapan untuk mengharamkan perbuatan wanita yang menyerupai lelaki sama ada dalam bentuk penampilan atau berpakaian.

Pengerusinya, Datuk Dr Abdul Shukor Husin berkata, pengharaman itu dibuat berdasarkan kepada perkembangan terkini di kalangan golongan remaja terutama kaum wanita, yang cenderung kepada cara hidup kaum lelaki sedangkan mereka adalah wanita sebenar.

“Yang ketara lagi apabila berlaku kegiatan seksual dengan kaum sejenis iaitu perempuan sama perempuan,” katanya pada persidangan media di sini, semalam, selepas berakhirnya muzakarah dua hari Majlis Fatwa.

Dr Abdul Shukor berkata, remaja perempuan kini didapati lebih gemar dengan cara hidup kaum lelaki dari segi pergaulan, perbuatan dan berpakaian, yang bukan sahaja bertentangan perkara tersebut dengan fitrah asal manusia tetapi cuba menafikan hak kewanitaan.

“Memandangkan perkembangan terkini ini, Majlis Fatwa Kebangsaan yang bermuzakarah semalam mengambil ketetapan dan pendirian bahawa perbuatan seperti itu adalah haram dan dilarang sama sekali,” katanya.

Beliau menyarankan ibu bapa, keluarga dan ahli masyarakat supaya memberitahu larangan itu kepada golongan terbabit agar tidak melakukan perkara yang dikira salah dengan ajaran Islam.

“Inilah yang membimbangkan apabila melihat golongan wanita sudah lebih cenderung kepada cara hidup lelaki termasuk dalam berpakaian,” katanya.

Majlis turut membuat ketetapan untuk membolehkan seseorang cucu mewarisi harta pusaka datuk mereka sekiranya bapa mereka meninggal dunia terlebih dahulu daripada datuk mereka.

Dr Abdul Shukor berkata, tindakan itu diambil demi menjaga kepentingan cucu tersebut, sekiranya harta itu tidak diagihkan kepada mereka selepas kematian bapa mereka.

“Bagi sesetengah cucu dari kalangan yang tidak berada, tentunya dengan sejumlah kecil harta yang diberikan oleh datuknya, dapat mengelak perkara yang tidak diingini menimpa ke atas mereka,” katanya.

Menurut Dr Abdul Shukor, cucu sebenarnya tidak layak menerima harta pusaka tinggalan datuk mereka sekiranya bapa mereka meninggal dunia terlebih dahulu daripada datuk mereka.

Bagaimanapun pengagihan yang dibuat adalah tidak melebihi satu pertiga dari lebihan harga pusaka tersebut selepas ditolak pembayaran hutang datuk dan sebagainya, katanya.

Tiada ulasan: