HALAMAN SANTAI

Khamis, 23 Oktober 2008

Teresa tuntut Dr Khir minta maaf, bayar pampasan RM10 juta

BERNAMA


SHAH ALAM: Anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teresa Kok telah mengeluarkan surat tuntutan meminta bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo memohon maaf dan membayar ganti rugi RM10 juta kerana merosakkan nama baik beliau melalui dakwaan bahawa beliau menyokong petisyen yang meminta bunyi laungan azan diperlahankan.

Bercakap kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor semalam, Kok berkata, beliau telah menghantar surat yang disediakan peguamnya itu bertarikh semalam, kepada Dr Khir melalui faksimili.

Salinan surat tuntutan itu, yang diedarkan kepada pemberita, mendakwa dalam jawapan kepada satu soalan yang disiarkan dalam laman blog Dr Mohamad Khir, bekas menteri besar Selangor itu menyatakan terdapat satu petisyen daripada masyarakat Cina di Kinrara, Puchong yang meminta bunyi laungan azan diperlahankan bunyinya dan petisyen itu disokong oleh Kok.

Perkataan yang digunakan Dr Mohamad Khir menggambarkan Kok bersikap anti Islam, anti Melayu dan telah melakukan kesalahan jenayah yang serius mengikut Kanun Keseksaan dan undang-undang lain di Malaysia, menurut surat itu.

Selain menuntut Dr Mohamad Khir menarik balik kenyataannya itu, memohon maaf dan membayar ganti rugi, Kok juga mahu Dr Khir menanggung semua kos perundangan yang timbul daripada perkara berkenaan.

Tiada ulasan: