HALAMAN SANTAI

Jumaat, 24 Oktober 2008

Mahathir: Shah Rukh Khan layak terima Datuk

MSTAR ONLINE


PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, bintang filem Bollywood, Shah Rukh Khan layak menerima anugerah yang membawa gelaran Datuk daripada kerajaan negeri Melaka, yang dipertikaikan banyak pihak sebelum ini.

Kata Dr. Mahathir, beliau rasa malu apabila anugerah Datuk kepada Shah Rukh Khan dipertikaikan.

Kata beliau, "kita kerap juga memberi gelaran Dato Kehormat kepada orang asing bagi menghargai sumbangan mereka kepada negeri atau negara."

"Jasa mereka ini kebanyakannya kurang daripada jasa Shah Rukh Khan," katanya.

"Saya fikir Shah Rukh layak mendapat penghormatan sebagai Dato Kehormat.

"Ini tidak bermakna artis-artis tempatan tidak layak mendapat penghormatan seperti Shah Rukh. Tetapi janganlah kita tarik balik anugerah ini untuk diberi kepada artis tempatan.

"Kita punyai banyak bintang kehormatan lagi yang boleh diberi kepada diri kita," kata Dr. Mahathir dalam blognya.

Shah Rukh akan tiba di Melaka Rabu depan bagi menerima anugerah yang membawa gelaran Datuk.

Upacara penganugerahan darjah kebesaran berkenaan akan diadakan di Seri Negeri pada pukul 10 pagi dan kerajaan negeri merancang untuk menyiarkannya secara langsung melalui televisyen.

Ketua Menteri Melaka mempertahankan langkah kerajaan negeri memberi gelaran Datuk kepada Shah Rukh Khan walaupun ia menerima kritikan hebat daripada pelbagai pihak dengan memberi alasan bahawa bintang filem itu layak menerimanya kerana sumbangan besarnya kepada Melaka.

Dr. Mahathir menjelaskan, beliau terlibat secara langsung dengan kurniaan bintang-bintang kehormatan kepada orang-orang yang berjasa tiap-tiap tahun.

"Kerap kali saya tidak kenal pun calon-calon yang dikemukakan.

"Sesungguhnya ramai yang lebih layak daripada calon-calon ini tidak termasuk dalam senarai dan tidak mendapat bintang-bintang kehormatan.

"Kemudian saya ditanya kenapa beri kepada orang-orang ini dan tidak orang itu. Saya tidak dapat jawab kerana tiada siapa yang diberi tugas memilih calon-calon mengemukakan nama mereka-mereka ini. Mereka juga tersilap," katanya.

Bekas Perdana Menteri mengakui bahawa tiap-tiap tahun ini berlaku.

"Shah Rukh Khan seperti kita maklum adalah bintang filem Bollywood yang terkenal.

"Saya telah usaha untuk menarik syarikat-syarikat perfileman Bollywood untuk membuat filem di sini kerana ia akan memperkenalkan Malaysia bukan sahaja kepada penonton filem di India tetapi di Eropah juga.

"Tujuannya ialah untuk menarik pelancong ke Malaysia. Antara yang sambut jemputan saya ialah Shah Rukh Khan," katanya lagi.

Tiada ulasan: