HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Oktober 2008

Pertandingan dalam UMNO tidak adil- Shahidan

KL POS


Pertandingan merebut jawatan peringkat Majlis Tertinggi UMNO pada masa ini tidak berapa adil, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Shahidan Kassim, semalam.

Shahidan yang juga bekas Menteri Besar Perlis berkata, calon-calon dari negeri yang kecil seperti Perlis mempunyai perwakilan yang tidak ramai berbanding negeri besar yang lain seperti Pahang, Sabah, Perak dan Johor.

“Mereka dari negeri kecil payah sebab perwakilan kecil. Tetapi dalam persatuan dan persatuan sukan boleh sebab mereka hantar jumlah perwakilan sama. Kalau duduk di Perlis payah sikit,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Aidilfitri Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di sini.

Namun katanya, beliau tidak kisah dengan perkara itu dan percaya akan mendapat pencalonan bagi kerusi Majlis Tertinggi UMNO pada pemilihan akan datang.

Shahidan yang juga Naib Yang Dipertua Perkim berkata, satu lagi perkara yang ingin dimaklumkannya ialah mengenai pandangan umum bahawa pemimpin negara hanya datang dari tiga negeri sahaja iaitu Pahang, Kedah dan Johor.

“Kalau ada dari Pulau Pinang misalnya Pak Lah (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) nak tumpang sekejap sahaja, dijatuhkan. Ini pandangan tak betul. Kita mesti percaya kepada qada’ dan qadar.

“Apa yang berlaku sekarang memang begitu iaitu kepimpinan Malaysia datang dari Kedah, Pahang dan Johor dan begitu juga bakal kepimpinan kelak. Orang lain nak tumpang sekaki seperti dinafikan hak mereka,” katanya.

Shahidan berkata, kepimpinan Malaysia hendaklah orang yang layak dan mampu memimpin negara ke arah yang baik.

Mengenai debat antara calon yang bertanding pada pemilihan UMNO kelak, beliau mencadangkan diadakan debat secara tertutup yang hanya disaksikan ahli pergerakan yang terbabit untuk semua calon peringkat tertinggi parti yang mahu bertanding.

“Kenapa mesti debat Pemuda sahaja. Wanita, Puteri, Naib Presiden, Timbalan Presiden pun perlu buat debat.

“Kalau cadang antara Khairy (Jamaluddin) dan (Datuk) Mukhriz (Tun Dr Mahathir) sahaja ia seperti nak memperlagakan antara mereka. Jangan tumpu Mukhriz dan Khairy semata-mata,” katanya./SINAR

Tiada ulasan: