Oleh ARIFFUDDIN ISHAK
KUALA LUMPUR: Penasihat DAP, Lim Kit Siang hari ini menggesa supaya Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Azmi Khalid tidak mengetuai jawatankuasa tersebut yang kini menyiasat isu pembelian 12 Eurocopter EC-725.
"Azmi Khalid sepatutnya melepaskan tugasnya dari ketuai siasatan ini kerana ia melibatkan kepentingan politik.
"Semasa kerajaan membuat keputusan untuk membeli Eurocopter pada 18 Julai tahun lalu, beliau adalah seorang menteri Kabinet," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Menurut beliau, keadaan tersebut akan mempengaruhi sebarang keputusan terhadap siasatan yang dijalankan.
"Dia (Azmi) adalah sebahagaian daripada kumpulan pembuat keputusan (beli Eurocopter) dulu, jadi saya rasa tugas beliau perlu diambil-alih oleh timbalannya," katanya.
Azmi adalah Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar pada penggal lalu.
Selain itu, Ahli Parlimen Ipoh Timur itu juga berharap agar Perdana Menteri, Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi hadir di Parlimen bagi membuat penjelasan yang berkaitan dengan perbezaan kos pembelian Eurocopter seperti yang dilaporkan media.
Semalam Abdullah berkata, kos keseluruhan pembelian Euorocopter tersebut ialah berjumlah RM1.67 bilion dan menafikan dakwaan yang mengatakan kerajaan membelanjakan sebanyak RM2.3 bilion untuk tujuan itu.
"Apa yang dinyatakan Perdana Menteri nyata bercanggah dengan kenyataan yang dibuat oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Abu Bakar Abdullah Sabtu lalu yang mengatakan kos pembelian itu adalah sebanyak RM1.1 bilion.
"Jadi bagaimana jumlah itu boleh bertambah," katanya.
Bagaimanapun Lim berkata, beliau gembira kerana Abdullah membenarkan siasatan terhadap isu pembelian ini diteruskan walaupun kerajaan mengumumkan untuk menangguhkan pembeliannya hingga keadaan ekonomi mengizinkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan