HALAMAN SANTAI

Rabu, 22 Oktober 2008

Politik wang dalam Umno: Rais Yatim dipelawa sertai PAS

Roy Rasul


KUALA LUMPUR - Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Dato' Seri Dr Rais Yatim, sewajarnya keluar terus daripada partinya jika beliau seorang yang berprinsip, bermoral dan beretika, saran Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mujahid Yusuf Rawa.

Katanya, apa lagi yang ditunggu Rais jika masalah politik wang dalam Umno tidak boleh dihapuskan.

Katanya semasa dihubungi Harakahdaily hari ini, PAS membuka seluas-luasnya pintu kepada Rais

"Jika beliau betul-betul meletakkan perjuangan yang bermoral dan beretika dan menentang segala bentuk politik wang, kita ajak dia masuk PAS kerana dalam PAS tiada amalam politik wang, jadi silakan." pelawanya.

Katanya, tujuan mengajak beliau menyertai PAS supaya beliau pelajari apa erti parti bersih daripada politik wang.

Beliau berkata, rintihan Rais yang diluahkan semalam mengenai politik wang dalam pemilihan Umno sehingga meminta dibuat bidaan menggambarkan beliau tidak tahan lagi dengan gejala tersebut.

"Pelik juga kerana semasa Presiden Umno Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mula naik dulu beliau berazam untuk perangi politik wang dan sebagainya tetapi sejak kenyataan itu Umno masih tidak berubah," katanya.

Memetik laporan sebuah akhbar hari ini, Rais berkata sukar untuk beliau membuat laporan mengenai salah laku pihak yang memintanya memberi imbuhan bagi mendapat sokongan pada pemilihan parti Mac depan.

Bahkan katanya, beliau rela untuk tidak mendapat pencalonan dariapda melakukan perbuatan menyalahi etika seperti itu.

Dalam pada itu, Mujahid berkata, beliau banyak mendengar keluhan mengenai gejala politik wang antaranya, kes puteri Umno di Kedah dan juga luahan daripada Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyidin Yassin.

Sehubungan itu katanya, beliau mengingatkan perwakilan Umno mengambil berat masalah tersebut kerana Umno adalah parti tunggak Barisan Nasional yang memerintah negara.

"Bukan saya hendak sibuk mengenai parti mereka tetapi jika masalah itu tidak berdaya lagi diselesaikan ia menjadi kebimbangan kepada rakyat kerana sebagai parti terbesar yang memerintah hari ini ia akan memberi kesan kepada pentadbiran negara," tegasnya.

Jadi katanya, kerajaan itu sendiri akan dipenuhi dengan politik wang kerana kemenangan calon-calon dalam pemilihan nanti bakal membawa mereka memegang jawatan menteri dan sebagainya.

"Ini membahayakan negara dan oleh itu, saya memang memahami kenyataan Rais yang merupakan seorang veteran Umno yang kecewa dengan kegagalan Umno memulih dirinya daripada masalah politik wang yang sudah menjadi ketagihan dalam diri perwakilan-perwakilan Umno," katanya.

Perkembangan itu katanya menunjukkan mereka memilih calon bukan atas dasar kewibawaan ataupun kelayakan tetapi mereka memilih calon-calon yang memberikan mereka wang yang banyak.

Oleh itu katanya, jika Umno kemaruk sangat dengan politik wang dalam pemilihan nanti, mereka tidak perlu mentadbir negara lagi sebaliknya serahkan kepada Pakatan Rakyat untuk mentadbirnya.

"Kita tidak mahu apa yang ditonjolkan di persada pentadbiran negara terdiri daripada tokoh-tokoh menteri yang dipancing undi untuk pilihan mereka," tegasnya. - mns_

Tiada ulasan: