HALAMAN SANTAI

Khamis, 23 Oktober 2008

Siswa UKM jumpa Suhakam adu dikasari pegawai keselamatan

Intan Abdullah


KUALA LUMPUR - Beberapa pelajar yang terlibat dengan perhimpunan 'Ops Desak' ketika Karnival Kerjaya Kebangsaan di Universiti Kebangsaan(UKM) pada 16 Oktober lalu meminta pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) agar melakukan siasatan ekoran daripada kekasaran oleh pihak Pengawal Keselamatan UKM.

Mohd Farid Hamlud serta Danaletchumi A/P Langaswaran mendakwa dikasari pihak pengawal keselamatan yang dikenali sebagai Mejar (B) Housaini Abdul Ghani, Talib dan Shaharom.

Menurut kenyataan kepada Suhakam, Mohd Farid berkata beliau disepak, ditumbuk, dicakar, disiku, ditampar sehingga menyebabkan kecederaan pada anggota tubuh badannya.

Manakala Danaletchumi pula ditolak secara keras oleh pegawai keselamatan lelaki sehingga tersungkur mengenai pokok berduri dan mengalami kecederaan tangan.

Mereka berdua memberitahu Pesuruhjaya Suhakam yang bertugas, Dato' Dr Chiam Heng Keng pada sesi penyerahan memorandum oleh pelajar terbabit bersama Suaram di pejabat Suhakam, Menara Tun Razak hari ini.

Ketika ditanya Chiam, Mohd Farid menjelaskan bahawa pihak pengawal keselamatan turut merempuh kumpulan pelajar tersebut ketika mereka mahu bertemu dengan Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Seri Mohd Khaled Nordin selepas majlis perasmian karnival tersebut.

"Kami dirempuh pengawal keselamatan UKM tanpa sebarang rundingan serta amaran, sebelum menteri masuk ke dalam dewan," katanya.

Sementara itu, Koordinator Suaram yang turut hadir pula meminta agar pihak Suhakam menjalankan siasatan dengan lebih serius memandangkan kejadian seumpama itu sering berlaku membabitkan pengawal keselamatan.

"Kami telah beberapa membuat aduan agar Suhakam menjalankan siasatan bagi mengelakkan pihak Universiti khususnya pengawal keselamatan tidak menyalahgunakan kuasa yang diberikan," ujarnya.

Menjawab soalan pelajar, Chiam menjelaskan pihaknya akan membentangkan laporan yang diterima itu kepada jawatankuasa Suhakam pada Mesyuarat Aduan yang aakan diadakan pada 30 Oktober akan datang.

"Kemudian kita akan menghubungi pihak universiti dan kementerian bagi mendapatkan maklumat serta laporan lebih terperinci berhubung insiden tersebut," katanya.

Pihaknya juga meminta agar pelajar terbabit agar menyediakan bukti bergambar serta laporan perubatan bagi tujuan dokumentasi untuk tindakan selanjutnya.

Memorandum yang diserahkan tersebut turut menekankan beberapa tuntutan iaitu testimonial pelajar dikasari pengawal keselamatan, tindakan Menteri Pengajian Tinggi yang tidak menghulurkan sebarang bantuan semasa kejadian selain penglibatan pihak polis dalam menakut-nakutkan pelajar.

Dalam perhimpunan pada 17 Oktober lalu, kira-kira 250 mahasiswa daripada pelbagai universiti Lembah Klang berhimpun di UKM dengan harapan untuk bertemu Khaled bagi menyerahkan sendiri memorandum tersebut.

"Malangnya, kami dikasari dan dirempuh ketika menteri telah bersetuju untuk berjumpa dengan wakil kami.

"Ia seolah-olah tidak menghormati hak siswa berkumpul secara aman," ujar salah seorang wakil Universiti Putra Malaysia (UPM), Lee Song Yong kepada Chiam

Moon Hui juga menekankan hal tersebut mendapat perhatian serius Suhakam memandangkan kes yang hampir sama berlaku berulang kali sejak kebelakangan ini.

"Insiden seperti ini bukanlah sesuatu yang baru malah pernah berlaku insiden yang sama melibatkan pengawal keselamatan di UPM dan UM terhadap pelajar," ujarnya.

Pelajar yang hadir juga meminta Suhakam memberikan perlindungan kepada pelajar yang berani tampil menyuarakan isu mereka.

"Pengawal Keselamatan di Pusat-pusat pengajian Tinggi memerlukan kod etika yang jelas supaya penyalahgunaan kuasa oleh mereka ini dapat dihentikan

"Kami juga mendesak Suhakam supaya mengesyorkan kerajaan agar bahagian Hal Ehwal Pelajar bebas daripada campur tangan oleh pihak polis mahupun dari Bukit Aman ataupun mana-mana pihak agar tidak menggunakan untuk menggertak pelajar,"

Kedua-dua pelajar yang menjadi mangsa dalam kejadian tersebut juga telah bertindak melaporkan kes tersebut kepada pihak polis._

Tiada ulasan: