HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Oktober 2008

Reaksi cadangan debat UMNO -Hishammuddin bimbang

UTUSAN ONLINE


KAJANG – Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bimbang debat yang tidak terkawal di antara calon Ketua Pemuda UMNO akan menjejaskan maruah dan imej pergerakan itu yang dibinanya sejak 10 tahun lalu.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan calon-calon terbabit supaya tidak meneruskan hasrat tersebut sehinggalah diberi ‘lampu’ hijau oleh kepimpinan tertinggi Pemuda UMNO.

Katanya, ia bagi mengelakkan calon yang berdebat gagal mengawal emosi sehingga mengemukakan hujah yang tidak berpijak di bumi nyata atau bercanggah dengan perancangan parti.

“Mereka kena meyakinkan saya kerana saya adalah Ketua Pemuda sehingga Mac ini dan ia (debat) tidak akan berlaku sehingga kepimpinan tertinggi Pemuda mengiakannya, jika nak jalankan terus tanpa merujuk atau dibawa berbincang, tuan punya badan kena pikul tanggungjawab sekiranya berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini.

“Saya tidak mahu menjejaskan maruah dan imej Pemuda yang telah saya bina selama 10 tahun untuk diserahkan kepada barisan kepimpinan baru,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Bumi Hijau Peringkat Kebangsaan yang disempurnakan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sungai Long di sini hari ini.

Idea untuk menganjurkan debat di antara calon Ketua Pemuda dikemukakan oleh Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan ia dipersetujui oleh bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.

Seorang lagi calon, Datuk Mukhriz Mahathir yang juga Ahli Parlimen Jerlun bagaimanapun tidak bersetuju kerana berpendapat debat itu tidak akan mengukuhkan parti.

Dalam perkembangan berkaitan, Hishammuddin menjelaskan sokongan yang diterima Mukhriz di bahagian Pekan dan Khairy di Sembrong tidak boleh ditafsirkan sebagai petunjuk mereka adalah calon pilihan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan beliau sendiri.

Katanya, fenomena yang berlaku di peringkat bahagian pada persidangan kali ini agak berbeza kerana kebanyakan pencalonan untuk semua jawatan dibuat melalui proses pengundian.

“Ini bermakna ketua bahagian dan pemimpin tertentu termasuk saya sendiri sebagai Ketua Bahagian Sembrong tidak dapat menentukan si polan A, B dan C akan dicalonkan.

“Dalam suasana sebegitu rupa, saya rasa mustahil mana-mana pihak termasuk Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Pemuda UMNO menentukan pencalonan,” katanya.

Tiada ulasan: