HALAMAN SANTAI

Jumaat, 24 Oktober 2008

Ronnie dakwa bekas Ahli Majlis punca PBT alami defisit perbelanjaan

SINAR HARIAN


SHAH ALAM - Lima pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini mengalami defisit dalam anggaran perbelanjaan pada tahun 2008 ekoran tindakan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang menjadi Ahli Majlis sebelum ini menyalahgunakan kuasa dan juga perbelanjaan tidak berhemah.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Pembangunan, Ronnie Liu berkata, PBT tersebut ialah Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Daerah Kajang (MPKj), Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Menjawab soalan Mohd Isa Abu Kasim (BN-Batang Kali), Ronnie berkata, antara penyalahgunaan kuasa yang dilakukan ADUN terlibat ialah melaksanakan projek yang mempunyai kepentingan politik bertujuan meraih undi pada pilihan raya umum ke 12 lalu.

Dengan mengambil contoh yang berlaku di MPS, Ronnie berkata, ADUN Rawang sebelum ini, Datuk Tang See Hang telah menjalankan projek-projek yang kosnya melebihi RM2 juta di kawasan PBT berkenaan.

“Sehingga kini kontraktor-kontraktor tersebut masih belum mendapat bayaran masing-masing daripada MPS kerana kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) ketika ini sedang menyemak dan meneliti keperluan bayaran itu,” katanya.

Katanya lagi, kes seumpama itu turut berlaku di MPK hingga menyebabkan gaji kakitangan MPK ketika ini terpaksa menggunakan ‘overdraft’.

Beliau berkata, penyalahgunaan kuasa tersebut menyebabkan MPK mengalami defisit walaupun sebelum ini dikenali sebagai PBT paling kaya kerana mempunyai rizab melebihi RM100 juta.

“Perbelanjaan tidak berhemah PBT-PBT lain sebelum ini termasuklah membelanjakan wang untuk projek-projek yang tidak penting seperti mengubahsuai landskap bulatan jalan raya berulang kali dan lawatan singkat yang tidak berfaedah,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Saari Sungib (Pas-Hulu Kelang) yang bertanyakan sama ada kerajaan negeri melaporkan penyalahgunaan kuasa tersebut kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR), Ronnie berkata kerajaan negeri masih belum berbuat demikian.

Bagaimanapun katanya, orang awam dialu-alukan untuk berbuat demikian berserta dengan bukti lengkap agar ADUN-ADUN terlibat dapat diambil tindakan tegas dengan segera.

Katanya lagi, oleh kerana tidak mahu kes yang sama berulang, kerajaan negeri mengambil langkah menubuhkan Jawatankuasa Audit dan Pengurusan Korporat di PBT bagi memastikan projek dan sebagainya dilakukan secara telus dan bebas rasuah.

“Buat masa ini Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sudah menubuhkan jawatankuasa itu dan ia adalah langkah yang dipuji kerana kita mahu semua tender, sebut harga dibuat dengan telus dan terbuka,” katanya.

Mengulas mengenai langkah untuk membantu PBT yang mengalami defisit dalam perbelanjaan, Ronnie berkata empat PBT antaranya yang kaya akan diarahkan untuk membantu PBT lain melalui projek anak angkat.

Tiada ulasan: