UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Pusat Penyelarasan Penguatkuasaan Maritim (PPPM) menahan 146 bot nelayan tempatan yang disyaki mengupah pendatang asing tanpa izin (PATI) sebagai pekerja mereka.
Timbalan Pengarah PPPM, Asisten Komisioner Zainudin Mohd. Tahir berkata, penahanan bot-bot berkenaan bersama 17 nelayan yang berasal dari negara-negara jiran merupakan kejayaan terbesar pasukan itu sepanjang seminggu Operasi Samudera Gagah Maritim di perairan Selat Melaka.
Operasi sejak 14 Oktober lalu itu berakhir semalam.
"Kita sedar pengusaha bot nelayan tempatan gemar mengunakan PATI ekoran dapat membayar gaji yang rendah berbanding mengambil rakyat tempatan sebagai pekerja. Mereka (PATI) kebiasaannya diambil bekerja sebagai nelayan di laut dalam serta di jeti-jeti di persisiran pantai.
"Ekoran operasi tersebut, 15 kes pelbagai kesalahan di bawah Akta Perikanan dan Akta Imigresen sedang diambil terhadap beberapa pengusaha bot terlibat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Perbuatan pemilik bot-bot itu menggaji warga asing didedahkan sehari selepas akhbar-akhbar melaporkan hampir 20 peratus daripada tenaga kerja di Malaysia terdiri daripada warga asing.
Menurut Zainudin, PATI yang bekerja dengan pengusaha bot tempatan juga dipercayai mempunyai jaringan kerjasama dengan rakan-rakan mereka dari negara asal masing-masing.
Katanya, mereka dipercayai bertindak memberi maklumat kepada kumpulan tertentu yang terlibat dalam kegiatan merompak bot-bot nelayan Malaysia.
Beliau berkata, operasi itu turut melibatkan Majlis Keselamatan Negara, polis marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Jabatan Perikanan, Jabatan Imigresen, Jabatan Penjara dan Jabatan Alam Sekitar.
Para pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Ikatan Relawan Rakyat (Rela) turut menyertai operasi itu bagi mengawal keselamatan perairan negara bermula dari Pulau Jarak, Perak hingga ke Tanjung Piai, Johor.
Zainudin memberitahu, operasi itu melibatkan 12 bot peronda dan dua pesawat udara masing-masing milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Unit Udara Polis serta risikan pantai termasuk di jeti-jeti yang dilakukan oleh anggota polis, KPDNHEP dan Rela.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan