Oleh ARIFFUDDIN ISHAK
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu satu Suruhanjaya Diraja bebas ditubuhkan bagi menjalankan siasatan berhubung isu pembelian 12 Eurocopter EC-725 walaupun Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah memulakan siasatannya.
"Saya harap PAC akan buat siasatan dengan berjaya tapi bagi saya cara yang terbaik untuk menangani isu ini ialah melalui Suruhanjaya Diraja yang bebas.
"Tapi kami akan sokong wakil Pakatan Rakyat yang berada dalam PAC untuk pastikan semua prosedur yang diambil telus dan betul," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen di sini, hari ini.
Semalam, Anwar yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh mengemukakan usul supaya menubuhkan suruhanjaya tersebut bagi menyiasat keraguan yang timbul dalam urusan pembelian helikopter tersebut.
Anwar juga mempersoalkan perolehan Eurocopter yang dibuat tanpa melalui proses penilaiaan dan pemeriksaan.
"Penjelasan Timbalan Menteri Pertahanan (Datuk Wira Abu Seman Yusop) tadi (dalam sesi perbahasan), perolehan Eurocopter yang menjamin kepentingan keselamatan negara dan keselamatan juruterbang kita dibuat tanpa pasukan penilaian.
"Maknanya beli berdasarkan dokumen. Lihat dokumen canggih, lengkap serta semua perkara teknikal dipenuhi...beli dengan RM1.6 bilion," kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Menurut beliau, berdasarkan pengalamannya semasa dalam kerajaan, semua proses pembelian perlu melalui ujian dan pemeriksaan lengkap dan jelas situasi yang berlaku sekarang ini tidak mengikut prosedur yang betul.
"Saya nak beritahu berdasarkan pengalaman saya, ini tidak pernah berlaku dan tidak mungkin berlaku.
"Ia ada pasukan penilaian, lepas lulus kita buat pemeriksaan, kemudian kalau kita nak letakkan kelengkapan tambahan seperti radar...semua itu akan diteliti oleh pasukan ini tatkala ia dipersiapkan," katanya.
Anwar juga mendakwa wujud penyelewengan yang besar dalam proses pembelian Eurocopter tersebut serta mempersoalkan jawapan terhadap isu ini tidak dijawab oleh Menteri Pertahanan yang terlibat dalam proses pembelian tersebut.
"Sepatutnya menteri yang berdiri menjawab, malangnya timbalan menteri yang tidak terlibat dalam proses ini dipaksa menjawab...saya bersimpati dengan beliau," katanya.
Anwar juga mempersoalkan mengenai percanggahan harga pembelian Eurocopter itu.
"Ada percanggahan harga, yang diumumkan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan (Datuk Abu Bakar Abdullah) RM1.1 bilion tapi yang diumumkan secara rasmi termasuk di Parlimen tadi ialah RM1.6 bilion," katanya.
Tambah beliau lagi, percanggahan harga itu tidak sepatutnya berlaku dan ia amat tidak munasabah kerana Kementerian Kewangan atau kerajaan perlu mengumumkan hanya satu harga yang lengkap.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan