HALAMAN SANTAI

Isnin, 8 Disember 2008

Nasib graduan ICT

Oleh Suliati Asri


SEBELUM ini kursus multimedia bagaikan tidak mendapat perhatian masyarakat kerana kos pengajiannya yang mahal dan tempat disediakan Institut pengajian tinggi (IPT) terhad.

Dek kurangnya persaingan, mereka yang mengikuti kursus itu mempunyai peluang yang cerah untuk mendapatkan pekerjaan selepas menamatkan pengajian.

Hasil kerja menggunakan multimedia yang dikomersialkan seperti filem animasi, grafik, penata bunyi dan pengiklanan menjadikan multimedia kini digilai mereka yang ingin melanjutkan pelajaran di IPT.

IPT juga kini dilihat berlumba-lumba menawarkan kursus multimedia dengan menyediakan pelbagai kemudahan lain bagi menarik pelajar mengikuti program di IPT mereka.

Namun, dengan lambakan graduan dalam bidang ini, adakah mereka mempunyai jaminan untuk memperoleh peluang pekerjaan selepas tamat pengajian?

Justeru, sejauh mana masa depan pelajar multimedia di negara ini memandangkan jumlah pelajar yang mengikuti kursus ini tinggi berbanding kekosongan jawatan.

Ditambah dengan krisis ekonomi global, ia sedikit sebanyak mengganggu perkembangan ekonomi sehingga mengakibatkan kebanyakan syarikat mengurangkan pekerja.

Jika begini trendnya, ia pastikan satu kerugian besar bagi pelajar dan ibu bapa yang melaburkan puluhan ribu untuk memastikan anak mereka mendapat ilmu multimedia.

Pengarah Urusan, Bahagian Pembangunan K Workers, Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), Muhamaad Imran Kunalan Abdullah, berkata memang satu kerugian jika pelaburan yang dibuat tidak mendatangkan hasil.

Namun, jika pelaburan itu di sertakan dengan langkah yang bijak serta sentiasa peka terhadap perubahan, ia akan memberi keuntungan lumayan.

"Begitu juga dengan peluang pekerjaan yang akan diperoleh graduan multimedia. Pembangunan teknologi yang semakin pesat kini sentiasa membuka ruang kepada mereka," katanya.

Multimedia satu bidang yang luas, salah satunya adalah Kreatif Multimedia yang terbahagi kepada pelbagai fokus seperti video animasi, grafik dan audio.

Ia juga sesuai dengan semua industri, cuma graduan perlu bijak mencari peluang dan peka terhadap perkembangan semasa.

Imran berkata, tidak timbul masalah sukar mendapatkan pekerjaan kerana ramai golongan muda mempunyai kelulusan yang sama.

"Untuk tahun 2009, dianggarkan jumlah pasaran multimedia ialah RM 5.95 trilion dan ia akan meningkat kepada RM 7 trilion pada 2011 di seluruh dunia.

"Daripada jumlah itu, tujuh peratus pasaran membabitkan rantau Asia Pasifik.

"Ini cukup membuktikan graduan multimedia mempunyai peluang cerah untuk berkarya walaupun persaingan dalam industri ini sengit," katanya.

Namun, kesukaran mereka mendapat pekerjaan setaraf bidang yang mereka belajar berpunca dari graduan itu sendiri.

Kurangnya kemahiran, komunikasi dan tidak peka terhadap perubahan semasa serta tidak ada daya usaha yang tinggi menyebabkan mereka sukar diterima bekerja.

"Dalam era pembangunan sekarang, sesebuah syarikat mencari pekerja yang mempunyai kemahiran serta pengalaman yang luas.

"Jika mereka mempunyai daya saing yang tinggi, peka terhadap perubahan teknologi atau pengisian sesuatu sistem dan inovatif, mereka tidak perlu bersusah payah mencari kerja kerana pekerjaan itu mencari mereka," katanya.

Selain itu, jangan mudah putus asa jika berusaha, tetapi masih gagal mendapat pekerjaan kerana multimedia adalah kerjaya global.

"Dengan segulung ijazah dalam bidang multimedia, ia memadai menjadi tiket untuk mereka mencari peluang di negara luar.

"MDeC banyak memberi peluang kepada graduan dalam bidang ini mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran di syarikat multimedia.

"Kita kini menganjurkan pelbagai program dalam membuka peluang mencari pekerjaan, antaranya Program Jobcamp," katanya.

Beliau berkata, program itu untuk pelajar dan graduan Teknologi Maklumat dan komunikasi (ICT) meningkatkan kemahiran dalam kreatif multimedia.

Sementara itu, bekas pelajar Multimedia dan kini bertugas sebagai pereka grafik di sebuah syarikat penerbitan, Mohd Helmi Baharuddin, 25, berkata peluang dalam bidang ini sangat cerah.

"Sekarang ini memang banyak IPT menawarkan kursus ini dan pelajar yang mengikutinya juga ramai, namun ia bukan penghalang untuk kita mencari kerja kerana ia terpulang kepada kita sendiri.

"Sebelum bekerja di sini, saya juga menghadapi masalah mencari kerja kerana sistem yang diajar di kolej dulu tidak sama dengan sistem yang digunakan dalam industri ini.

"Oleh itu, saya mengambil kursus jangka pendek dalam beberapa subjek yang sesuai dengan industri, hasilnya saya bekerja di sini," katanya.

Tiada ulasan: