HALAMAN SANTAI

Isnin, 8 Disember 2008

SIRI DUA:MASALAH RASUAH AGENDA TERAKHIR ABDULAH

Ruhanie Ahmad


Tekad Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk membanteras rasuah seperti yang saya huraikan dalam siri satu (4 Disember 2008) kelihatan semakin serius bila beliau “mempelawa pemimpin ASEAN untuk menghantar peserta ke Akademi Pencegahan Rasuah” yang akan ditubuhkan di Malaysia supaya mereka “membina kemampuan memerangi rasuah” di kalangan negara ASEAN.

Abdullah mengeluarkan pelawaan ini sewaktu berucap di Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun di Tokyo pada 12 Disember 2003. Menurut Utusan Malaysia, Abdullah satu-satunya pemimpin ASEAN yang menyentuh soal rasuah di persidangan berkenaan.

Pada 13 Januari 2004, Abdullah pula membuat kenyataan untuk membendung rasuah seperti berikut:

“Kerajaan akan menjadikan sistem pemberian tender terbuka sebagai amalan bagi mengurangkan rasuah dan mengekang peningkatan kos perniagaan di negara ini. Rundingan secara langsung pula akan dihadkan hanya kepada kes istimewa yang tertentu sahaja.”

Kenyataan Abdullah mengenai rasuah sewaktu beliau berada di Tokyo seperti di atas, nampaknya mendorong lebih banyak media spin di kalangan penulis tempatan. Umpamanya, pada 9 Februari 2004, Utusan Malaysia menyiarkan satu artikel berjodol Serius Memerangi Rasuah.

Agenda Tersendiri

Artikel ini seolah-olah membuktikan bahawa kenyataan-kenyataan Abdullah mengenai rasuah bukannya benar-benar untuk membanteras rasuah secara ikhlas dan jujur. Tetapi, seolah-olah mempunyai sesuatu agenda yang tersembunyi dan tersendiri.

Saya berpendapat begini kerana artikel berkenaan kelihatan berlebih-lebihan sangat dalam sanjungannya kepada Abdullah mengenai usaha membanteras rasuah. Ia juga seolah-olah mahu memberikan suatu mesej bahawa ada sesuatu yang tersirat di sebalik usaha Abdullah memerangi rasuah. Contohnya adalah seperti berikut:

“Dari hari pertama hingga ke hari yang ke-100 beliau memegang jawatan Perdana Menteri dan mungkin hingga beliau bersara pun, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mungkin akan terus memerangi rasuah. Semangatnya tinggi dan mantap untuk mencapai hajatnya itu. Kesungguhan Perdana Menteri tentu ada sebabnya. Beliau tidak menyatakan dengan jelas apa yang tersirat dan tersimpan di dalam sanubarinya. Abdullah tidak akan menyatakan. Tidak bijak untuk memaparkan siratan hati. Tetapi, serangan tanpa hentinya kepada amalan rasuah memperlihatkan wujudnya lembaga hitam yang dikendongnya selama ini yang menghantui pemikirannya.”

Daripada barisan kata-kata di atas, pasti kita akan bertanyakan diri sendiri, apakah yang dimaksudkan dengan “lembaga hitam” dalam artikel berkenaan dan apa pula “matlamat yang tersirat dan tersimpan” dalam sanubari Abdullah bila beliau memerangi rasuah?

Saya serahkan teka-teki di sebalik artikel tersebut kepada anda untuk mentafsirkannya mengikut daya imajinasi masing-masing. Bagaimanapun, seluruh perkembangan mengenai rasuah selepas penyiaran artikel berkenaan mungkin dapat memberikan jawapannya.

Orang Kenamaan

Contohnya, kajilah sendiri mengapakah liputan media terhadap usaha Abdullah membanteras rasuah jadi kian rancak dan seolah-olah sengaja diperbesar-besarkan setelah dua insan kenamaan ditahan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) atas tuduhan rasuah.

Pada 9 Februari 2004, BPR menahan bekas Pengarah Urusan Perwaja Steel Sdn. Bhd., Tan Sri Eric Chia Eng Hock, 71, berhubung kes penyelewengan dalam syarikat itu yang melibatkan kerugian RM2.9 bilion. Tiga hari berikutnya, iaitu pada 12 Februari 2004, Tan Sri Kasitah Gaddam selaku Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi dalam era interim Abdullah pula dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua tuduhan melakukan rasuah dan penipuan berhubung keputusan meluluskan cadangan penjualan 16.8 juta saham Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS). Kasitah adalah orang kenamaan kedua yang ditahan oleh BPR di era awal kepimpinan Abdullah.

Kedua-dua kes di atas amat menarik. Ini kerana Eric Chia sering diperkatakan oleh segolongan rakyat Malaysia sebagai seorang sahabat Mahathir. Kasitah pula menteri yang dilantik oleh Mahathir. Oleh itu, adakah matlamat tersirat Abdullah memerangi rasuah di era awal kepimpinannya memang sebenar-benarnya untuk menempelak Mahathir?

Saya harap para pembaca akan ambil ingatan terhadap persoalan di atas kerana mutakhir ini (2008), salah satu masalah utama yang dikatakan menghantui kepimpinan Abdullah adalah masalah rasuah, salahguna kuasa, kronisme dan neopotisme.

Masalah ini tidak seharusnya wujud jika kesungguhan dan iltizam politik Abdullah dalam memerangi rasuah dan penyakit yang sejenis dengannya adalah benar-benar tulus, ikhlas dan jujur.

Saya juga meminta para pembaca untuk mengambil ingatan terhadap persoalan ini kerana kenyataan dan tindakan anti-rasuah yang dilakukan oleh Abdullah di era awal kepimpinannya memang seolah-olah dirancang oleh pihak-pihak tertentu ke arah sesuatu agenda yang juga tertentu.

Tiada ulasan: