HALAMAN SANTAI

Selasa, 24 Februari 2009

Bantah tambang bas baru, Choo didakwa Auku di UUM esok

Ali Bukhari Amir


KUALA LUMPUR - Seorang mahasiswa akan didakwa esok pagi ekoran tindakannya membangkitkan isu berhubung kenaikan harga tambang perkhidmatan bas di Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui internet baru-baru ini.

Mahasiswa tahun tiga, Choo Kok Wei akan dihadapkan ke Bilik Mesyuarat Sri Delima, Tingkat 5, Bangunan Canselori sekitar jam 9 pagi esok atas dakwaan membuat bantahan secara maya ke atas isu-isu dalaman di universiti berkenaan.

Jurucakap Malaysia Youth and Students Democratic Movement (Dema) Tan Sze Ming berkata, bantahan ke atas sikap UUM berhubung kejadian tersebut telah disokong oleh 17 buah persatuan pelajar.

"Kami kecam sekeras-kerasnya tindakan pihak pentadbiran UUM yang mendakwa Choo di bawah Auku atas dakwaan merancang bantahan dalam laman web dan siaran akhbar berhubung isu kenaikan harga tambang bas di.

"Malah, kami menganggap tindakan itu sebagai tidak adil dan tidak munasabah," kata beliau.

Beliau berkata, tindakan Choo itu wajar memandangkan penyedia perkhidmatan bas di UUM, Unic Symbol Business Sdn Bhd dengan kebenaran pihak universiti telah menaikkan tambang bas tanpa mengadakan rundingan dengan pelajar.

"Tindakannya membuat bantahan dalam laman web dan membuat siaran akhbar, mengemukakan petisyen pihak universiti adalah berasaskan prinsip demokrasi. Maka, dakwaan ke atas Choo di bawah Auku telah jelas menunjukkan bahawa pihak universiti telah menindas hak kebebasan bersuara," tambah Tan.

Reaksi UUM yang keterlaluan ke atas Choo, menurut beliau, telah membangkitkan kecurigaan mengenai kemungkinan wujudnya unsur-unsur tidak jujur dalam usaha pemeteraian kontrak antara penyedia perkhidmatan bas dan pihak universiti.

Harakah Daily belum menerima sebarang maklumbalas daripada pihak pentadbiran UUM setakat ini. _

Tiada ulasan: