HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 Februari 2009

'Dulu masa jadi menteri tak pernah bayar tol...tak pernah merasa.'

Harakahdaily


KUALA LUMPUR - Demikian dinyatakan sendiri Ahli Parlimen Padang Besar Dato' Seri Azmi Khalid ketika diminta mengulas berhubung kenaikan tol mulai 1 Mac yang diumumkan Menteri Kerja Raya, Dato' Seri Mohd Zin Mohamed semalam.

Kenaikan kadar tol itu melibatkan Lebuh Raya Utara-Selatan, Lebuh Raya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat, Lebuh Raya Bertingkat AmpangKuala Lumpur (AKLEH), Lebuh Raya Sungai Besi dan Lebuh Raya Baru Pantai (NPE).

"Dulu semasa jadi menteri tak pernah bayar tol, saya tak tahu berapa, tak pernah merasa. Tapi sekarang, saya tingggal di Shah Alam dan sering datang ke Kuala Lumpur dan melalui beberapa tol, saya sangat merasai beban tol itu. Kalau saya merasai, orang lain pun tentu merasai," katanya yang dipetik daripada akhbar online.

Azmi, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kirakira Wang Negara, berkata beliau faham bahawa terdapat perjanjian kerajaan dengan syarikat konsesi yang mengizinkan kenaikan tol dibuat.

"Dalam perjanjian memang ada kenaikan tol oleh pengusaha tol, memang susah kerajaan nak elak. Kalau boleh kerajaan kaji dengan teliti supaya perkara ini tidak membebankan rakyat, " katanya.

Ahli Parlimen Batu Pahat Dr. Mohd Puad Zarkashi menyifatkan kenaikan kadar tol pada masa kini tidak wajar.

"Baru-baru ini sudah diberitahu bahawa kerajaan akan beri keutamaan kepada rakyat dalam apa saja keputusan bila ada syarikat konsesi meminta kenaikan tol, tapi saya terkejut bila dapat maklumat harga tol akan dinaikkan bermula Ahad ini," katanya.

Puad berkata kerajaan seharusnya menangguhkan dahulu kenaikan kadar tol ini sehingga mini bajet dibentangkan pada 10 Mac ini. - azm

Di Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), kadar tol di plaza tol Pantai naik setinggi 33 peratus iaitu 50 sen dari RM1.50 kepada RM2 manakala di Plaza tol Damansara pula naik 30 sen dari RM1 kepada RM1.30 (naik 30%).

Kadar tol di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh)(Lebuhraya E12) juga dinaikkan sehingga 33 peratus iaitu sebanyak 50 sen bagi kereta - dari RM1.50 hingga RM2.

Dalam satu kenyataan Mohamad Zin menyifatkan kenaikan kadar tol baru itu sebagai sangat kecil.

Kenaikan kadar tol di lebuhraya-lebuhraya lain ialah:

Lebuhraya Utara-Selatan (Plus): Kadar kenaikan tol untuk sistem kutipan tol tertutup Plus dinaikkan 0.68 sen sekilometer bagi kereta. Bagaimanapun, kenaikan ini tidak membabitkan tol di Plaza Tol Bukit Kayu Hitam, Tambak Johor dan Bangunan Sultan Iskandar.

Kadar tol Lebuhraya Sungai Besi (Besraya): Kadar tol dinaikkan sebanyak 10 sen bagi kereta - dari RM1.30 kepada RM1.40 (naik 7.7%). Bayaran hanya dibuat di Plaza Tol Mines kerana Tol Salak Selatan Jaya telah ditutup mulai semalam.

Lebuhraya Baru Pantai (NPE): Kadar tol dinaikkan sebanyak 40 sen bagi kereta - dari RM1.60 kepada RM2 (naik 25%). - azm _

Tiada ulasan: