HALAMAN SANTAI

Rabu, 25 Februari 2009

Dibelasah 30 pelajar

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
dan Nor Adilah Bukhorie


SUBANG JAYA: Melampau apabila seorang remaja yang sedang menjemput pulang dua adiknya di pintu pagar sekolah tiba-tiba dibelasah beramai-ramai sekumpulan lebih 30 pelajar hingga berlumuran darah di muka.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 tengah hari semalam, mangsa R Rajkumar, 16, cedera di kepala dan muka akibat dibelasah sekumpulan pelajar yang juga rakan sekolahnya di luar Sekolah Kebangsaan Menengah Puchong Perdana dengan menggunakan kayu.

Mangsa yang ditemui semalam berkata, ketika kejadian, dia sedang menunggu menjemput dua adiknya di luar sekolah berkenaan sebelum didatangi kumpulan pelajar terbabit.

“Mereka bertanyakan mengenai nama seorang pelajar dan saya menjelaskan pelajar yang dimaksudkan itu bukan saya,” katanya.

Katanya, tanpa sebarang alasan munasabah, kumpulan pelajar berkenaan terus menyerang mangsa dengan menendang dan menumbuknya beramai-ramai menyebabkan dia tidak sempat mempertahankan diri.

“Kumpulan pelajar terbabit yang masih memakai pakaian seragam sekolah menggunakan kayu untuk memukul kepala saya hingga berlumuran darah.

“Jumlah pelajar berkenaan terlalu ramai menyebabkan saya tidak mampu melawan dan hanya bertahan ketika dibelasah dari setiap penjuru,” katanya.

Selepas hampir 10 minit ‘dikerjakan’ kumpulan pelajar terbabit, pengawal keselamatan di pangsapuri berdekatan datang meleraikan pergaduhan itu dan membawanya ke pos pengawal terbabit.

Sejurus selepas itu, mangsa yang bimbang terus diserang sekali lagi segera membuat laporan di Balai Polis Puchong.

Mangsa mendakwa mengenali tiga daripada pelajar yang menyerangnya dan menyerahkan nama pelajar berkenaan kepada polis yang mengambil keterangan daripadanya.

Sementara itu, bapa mangsa, S Rajandran, 49, dan kakak mangsa, R Santhara,19, yang datang ke Balai Berita di sini semalam berharap pihak polis menyiasat segera kes berkenaan dan menahan pelajar yang terbabit.

Rajandran berkata, kejadian itu benar-benar mengejutkannya berikutan serangan terbabit dilakukan di hadapan sekolah dan anaknya mungkin cedera parah sekiranya pengawal keselamatan terbabit tidak datang membantu.

Sementara itu, Ketua Polis Subang Jaya, Assisten Komisioner, Zainal Rashid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mangsa.

Difahamkan, kejadian pukul itu berkaitan dengan pergaduhan antara kumpulan pelajar berikutan terdapat kumpulan lain yang ‘mengambil alih’ kawasan berkenaan kelmarin di luar sekolah terbabit.

Kejadian terbabit mengulangi insiden sama apabila seorang pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besi, Muhd Hadzrin Mohamad yang meninggal dunia Sabtu lalu selepas dibelasah 24 remaja yang juga pelajar sekolah pada jam 9.30 malam 13 Februari lalu yang didakwa berpunca perebutan teman wanita.

Berikutan serangan itu, Muhd Hadzrin tidak sedarkan diri selepas menjalani pembedahan mengeluarkan darah beku di kepalanya akibat dipukul dengan besi dan topi keledar.

Tiada ulasan: