HALAMAN SANTAI

Khamis, 26 Februari 2009

Ibrahim Ali: Sirih bakal pulang ke gagang

KL POS


KL: Sungguhpun semalam, sudah menolak secara baik, hari ini Datuk Ibrahim Ali meluahkan kesediaan menimbang pelawaan untuk menyertai semula UMNO.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu bagaimanapun menetapkan syarat - UMNO perlu bersedia menerima kelantangan beliau.

Sebagai Ahli Parlimen Bebas, Ibrahim amat menghargai pelawaan daripada UMNO, namun perlu memikirkan banyak perkara termasuk maklum balas daripada para penyokong di kawasannya.

"Kalau terima saya, terimalah kelantangan saya selagi saya tidak melanggar disiplin. Tetapi kalau saya ada kes rasuah atau menjejaskan parti, sila buang saya secepat mungkin. Jangan buang saya kerana kelantangan saya.

"Perjuangan saya adalah untuk orang Melayu dan negara. Jadi jangan usik saya dalam bab ini. Kalau ini boleh diterima, saya akan fikir masak-masak," katanya berterus-terang ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, UMNO Kelantan menyatakan kesediaan untuk menerima Ibrahim sekiranya beliau mahu kembali kepada parti itu.

Ibrahim menambah, UMNO bukanlah satu parti yang asing baginya kerana selain pernah menjadi ahli, beliau menganggotai Majlis Tertinggi (MT) selama enam tahun dan ketua bahagian selama 12 tahun.

"Cuma dulu saya digugur sebagai ketua penaja tanpa sebab yang saya sendiri tidak tahu. Mereka kena ingat yang saya ini memang seorang yang semula jadi lantang sejak menjadi pemimpin pelajar lagi.

"Hal ini nampaknya menjadi masalah kepada banyak pihak," katanya.

Ibrahim berkata, beliau tidak mahu 'pisang berbuah dua kali' seperti berlaku antara beliau dan parti Pas di Kelantan pada Pilihan Raya Umum 2004.

Katanya, Pas pada masa itu mahu bekerjasama dengannya ketika parti berkenaan berada dalam keadaan kritikal kerana hanya memenangi majoriti yang tipis.

"Mereka mahu bekerjasama dengan saya dan menggunakan saya kerana mereka takut kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-12 dan mereka juga kalah dalam pilihan raya kecil Pengkalan Pasir. Pada masa itu, mereka terima saya walaupun mereka tahu saya lantang.

"Sekarang apabila saya lantang, mereka marah pula. Saya tidak mahu perkara itu berulang lagi jika saya masuk UMNO... kasihanlah dekat saya," ujarnya bersahaja.

Tiada ulasan: