MALAYSIA KINI
Pemuda Umno tidak akan meminta maaf ekoran tindakan sekumpulan anggota pergerakan itu yang didakwa mengepung pengerusi DAP, Karpal Singh di Parlimen semalam.
Ketuanya, Datuk Hishammuddin Hussein berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan pemimpin DAP, Lim Kit Siang yang menuntut pergerakan itu memohon maaf.
"Tidak timbul isu minta maaf. Provokasi ini bukan kali pertama, dengan menuduhkan kita celaka, tuduh kita terlibat (menghantar) peluru (kepada Karpal) dan isu-isu membabit Raja-raja Melayu dan kedaulatannya.
"Kalau diheret ke mahkamah pun saya sanggup lakukan untuk memperjelaskan apa yang berlaku," katanya selepas menghadiri persidangan antarabangsa pemuda mengenai keganasan di ibunegara hari ini.
Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah menyampaikan titah diraja sempena persidangan tersebut petang ini.
Ditanya mengenai kejadian semalam, Hishammuddin yang juga menteri pelajaran berkata: "Saya tidak arah dan tidak tahu (kejadian semalam)... jadi tidak timbul isu minta maaf."
Sebaliknya ditanya sama ada pihaknya akan menuntut Karpal minta maaf kerana memanggil Pemuda Umno 'celaka', Hisham berkata: "Kalau minta pun, kita tahu dia tidak akan lakukan."
Ditanya sama ada kekecohan di Parlimen semalam akan menjejaskan imej Umno berkata, ia hanya membabitkan segelintir sahaja anggota Pemuda Umno.
"...tak sampai 15 hingga 20 orang, takkanlah tindakan segelintir itu akan menjejaskan imej kesemua Pemuda Umno dan Pemuda BN."
Hishammuddin juga mendakwa tindakan Karpal memanggil 'celaka' kepada Pemuda Umno sebagai satu provokasi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan