HALAMAN SANTAI

Rabu, 25 Februari 2009

Kenyataan akhbar Sultan Selangor

MY METRO

KUALA LUMPUR: Berikut ialah kenyataan penuh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung kedudukan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Bukit Lanjan Elizabeth Wong, yang dikeluarkan oleh Datuk Lela Bakti Setiausaha Sulit kepada baginda, Datuk Mohamad Munir Bani.

Sukacita saya memaklumkan bahawa Yang Amat Berhormat Tan Sri Datuk Abdul Khalid bin Ibrahim, Datuk Menteri Besar Selangor telah menghadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada hari Rabu, 25 Februari 2009 dan menyembah kepada Baginda perkembangan hal ehwal pentadbiran Negeri Selangor serta isu yang melibatkan Yang Berhormat Elizabeth Wong Keat Ping, ADUN Bukit Lanjan yang juga EXCO Kerajaan Negeri Selangor.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor telah menitahkan kepada saya untuk memaklumkan bahawa Baginda tidak dapat memberikan panduan atau nasihat kepada Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar Selangor dalam hal berkenaan isu Yang Berhormat Elizibeth Wong kerana ia masih dalam siasatan pihak polis dan melibatkan kedudukan Yang Berhormat Elizabeth Wong dalam politik. Sebagai Sultan Selangor, Baginda sememangnya berkecuali dalam hal ehwal politik (above politic).

Baginda selanjutnya menyatakan keyakinan Baginda atas apa jua keputusan yang bakal diambil oleh Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar dan percaya bahawa ianya dibuat secara adil dan bijaksana, dengan mengambil kira kepentingan rakyat khasnya dan Negeri Selangor amnya. Baginda turut merasa dukacita dan amat bimbang kerana sejak akhir-akhir ini perbuatan menceroboh hak peribadi dan 'privacy' individu telah dijadikan sebagai suatu alat untuk menjatuhkan maruah dan merosakkan imej seseorang. Adalah satu perkara yang menyedihkan apabila kehidupan dan hak individu itu dijadikan satu publisiti dan topik hangat untuk disebarkan (melalui media massa) kepada orang ramai.

Tiada ulasan: